Bila Enakmen Kebebasan Maklumat negeri dikuatkuasa?

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen bertanya mengenai rancangan penguatkuasaan Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010.

Beliau bertanya demikian kerana enakmen yang diwartakan pada 2 Februari tahun lepas dianggap masih belum dikuatkuasa sampai sekarang.

“Saya masih menunggu tarikh penguatkuasaan ini,” ujarnya semasa membahas ucapan Tuan Yang Dipertua Negeri (TYT) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan segera enakmen itu akan mereputasi lagi imej Pulau Pinang dalam melaksana tadbir urus Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Nada yang sama turut diluahkan oleh pengerusi jawatankuasa enakmen itu, Jagdeep Singh Deo (ADUN Datuk Keramat).

Terdahulu, Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 diluluskan di DUN dengan pindaan pada 4 November 2011.

Pada 9 Januari 2012, TYT, Tun Abdul Rahman Abbas memperkenan enakmen itu, lalu, diwarta pada 2 Februari lepas.

Dalam mesyuarat pertama penggal kelima DUN Ke-12 lepas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, status pelaksanaan Enakmen tersebut masih lagi dalam tindakan bagi menetapkan tarikh mula kuatkuasa Enakmen tersebut sebelum diangkat untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

“Sebaik sahaja tarikh mula kuatkuasa Enakmen ini diluluskan dan pelantikan pegawai maklumat dimuktamadkan, orang awam boleh mendapatkan akses kepada sebarang dokumen Kerajaan Negeri melalui saluran yang dibenarkan sepertimana yang diperuntukan dalam Enakmen tersebut,” ujar Guan Eng yang juga ADUN Air Putih semasa itu.