Bilangan rumah tak terjual di Pulau Pinang catat penurunan, kata Exco

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa unit kediaman tidak terjual di Pulau Pinang mencatatkan penurunan iaitu daripada 3,916 unit pada 2017 kepada 3,502 unit tahun lalu.

Jelasnya, angka tersebut adalah berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah 2018 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) baru-baru ini.

“Dalam keadaan bandar-bandar utama di negara ini berdepan masalah unit kediaman tidak terjual, Pulau Pinang pula menunjukkan penurunan.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelaburan terbaik bagi sektor hartanah,” katanya pada sidang media dekat Dewan Sri Pinang, di sini sebentar tadi.

Terdahulu, NAPIC dalam laporannya menyebutkan bahawa unit kediaman tidak terjual meningkat 30.6 peratus kepada 32,313 unit bernilai RM19.86 bilion pada 2018 berbanding 24,738 (RM15.64 bilion) pada tahun 2017.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa pelancaran laporan tersebut pada 1 Mei lalu berkata kebanyakan rumah kediaman tidak terjual itu tertumpu di Perak sebanyak 2,905 unit dan Kuala Lumpur 2,692 unit.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD