Bimbingan bagi meningkatkan kesedaran hala tuju kerjaya bantu pelajar rancang masa depan lebih baik

GEORGE TOWN – Bimbingan dalam meningkatkan kesedaran mengenai hala tuju kerjaya perlu disampaikan kepada pelajar agar golongan tersebut dapat merancang masa depan dengan lebih baik, ujar Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

Katanya, pelajar tidak seharusnya tertumpu kepada akademik dan kokurikulum di sekolah sahaja untuk berjaya, sebaliknya mereka perlu merancang sektor kerjaya masa depan.

“Kadangkala terdapat pelajar yang terlalu fokus dengan keputusan peperiksaan sehingga mereka telah mengabaikan pelan kerjaya untuk jangka masa panjang,” ujar beliau pada program Belia Untuk Masa Depan: Bengkel Penerokaan Kerjaya di St. George Girls School, pagi ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit, Timbalan Pengarah UWC Berhad, Matin Ng Chin Liang, Pengurus ViTrox, Johreyna Yeoh Siew Eng dan guru-guru pengelola.

Seramai kira-kira 100 pelajar Tingkatan 5 sekolah berkenaan terlibat dalam program anjuran Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Dalam pada itu, Chun Kit dalam ucapannya memberitahu bahawa pelajar tidak sepatutnya terlalu memilih dalam soal kerjaya terutamanya dengan keadaan sekarang yang memerlukan persaingan sengit.

“Pelajar sekarang hendaklah mengambil segala jenis peluang yang diberikan bagi memastikan mereka mampu memenuhi kehendak pasaran kerjaya kelak,” ujarnya lagi.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: WO YEE QI