Bina fasiliti sukan dan rekreasi peringkat lokal keutamaan negeri – Lip Chee

SUNGAI DUA – Agenda meningkatkan mutu fasiliti sukan dan rekreasi yang diperlukan oleh penduduk lokal akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri hari ini.

Demikian kata Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee semasa menyempurnakan acara perasmian pembukaan Gelanggang Futsal Taman Sungai Dua yang menelan perbelanjaan sejumlah RM247,396.

“Kerajaan Negeri selalunya menitikberatkan kelengkapan serta pembangunan fasiliti sukan dan rekreasi di negeri Pulau Pinang.

“(Sebelum) ini, cadangan dan perbincangan bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Dua untuk membina satu gelanggang sepak takraw bersebelahan gelanggang futsal ini (dengan kos RM18,000) telah diusahakan pada awal tahun ini,” jelasnya dalam acara berkaitan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua di sini pada 28 November 2021.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal berkata pihaknya berharap projek infrastruktur awam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri akan meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk lokal terutama muda-mudi.

Dalam perkembangan berkaitan, Lip Chee memberitahu bahawa pentadbirannya berhasrat untuk mewujudkan gelanggang khusus untuk sukan kabaddi di bawah seliaan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

“Kalau gelanggang sukan kabaddi ini berjaya direalisasikan, ia bukan sahaja gelanggang sukan awam pertama di Pulau Pinang, malah mungkin di Malaysia,” jelasnya lagi sambil memuji persembahan aksi tempur silat yang dilangsungkan sempena majlis perasmian gelanggang futsal di sini.

Turut berucap pada majlis sama adalah Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Sungai Dua, Mohd. Taufek Abd. Rahman dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Saifullah Abd. Nasir.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB