Bina jeti nelayan, pelantar ikan tanpa kawalan membimbangkan ADUN Jawi

Admin

 

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye menzahirkan rasa bimbang dengan pembinaan begitu banyak jeti nelayan dan pelantar ikan di sekitar Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), tanpa kawalan yang betul daripada agensi serta jabatan berkaitan.

Katanya, keadaan sebegitu akan mengakibatkan pihak-pihak berwajib menghadapi masalah dalam memantau aktiviti nelayan di samping kesulitan menyalurkan bantuan kepada merela yang layak pada peringkat lokal.

“Di Kawasan (Dewan Undangan Negeri, KADUN) Jawi, terdapat empat jeti nelayan telah dibina, antara empat (jeti) itu hanya satu (jeti) menjalankan operasi mereka dengan tatacara yang lebih teratas.

“(Sementara itu,) nelayan-nelayan (lain) menubuhkan jawatankuasanya sendiri untuk menguruskan sebarang urusan secara rasmi mahupun tidak.

“Bagi jeti nelayan yang terletak di Kampung Che Isa, Teluk Ipil dan Kampung Kebun Baru ini, tidak ada badan pengurusan yang ditubuhkan,” jelasnya semasa membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 30 Mei 2022.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyokong ucapan Yang Dipertua Negeri Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyebut Pulau Pinang wajar memastikan sumber makanan negeri senantiasa selamat, mencukupi dan bersih bagi memenuhi keperluan penduduk.

“Negeri Pulau Pinang merupakan pengeluar ikan sangkar yang terbesar dan juga pengeluaran hasil padi adalah antara yang tertinggi di Malaysia.

“Walaupun pendapatan utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah bergantung dalam sektor pembuatan dan perkilangan, sumber pendapatan yang melibatkan hasil laut dan pertanian tidak harus dilupakan yang mana (dua) sektor ini juga telah menyumbang hasil pulangan yang tinggi buat Kerajaan Negeri kita,” tambahnya lagi sambil menyokong ucapan Ahmad Fuzi sebelum ini di DUN.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR