Bina kemudahan untuk OKU lebih progresif, Majlis Dakwah Negara nasihat semua henti bincang isu LGBT

BERTAM – Majlis Dakwah Negara (MDN) menasihatkan kerajaan, agamawan dan masyarakat supaya berhenti membincangkan mengenai kontrovesi isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), yang dianggap sebagai bukan isu utama negara ketika ini.

Pengerusi MDN Pusat, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, lebih progresif sekiranya semua pihak membincangkan hal kekurangan kemudahan infrastruktur awam membabitkan golongan minoriti terutama orang kurang upaya (OKU), berbanding perbincangan isu LGBT secara abstrak.

“Saya nak minta kita hentikan perbincangan mengenai LGBT, kerana LGBT bukan isu sebenar di negara kita.

“Sebenarnya, jaminan terhadap kebebasan minoriti telah dijamin dalam negara ini, berdasarkan perlembagaan (Persekutuan).

“Isu LGBT ini telah diselesaikan melalui SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), tidak perlu idea baru (secara abstrak).

“Lebih baik kita bincang isu OKU tidak dapat pergi ke masjid sebab tiada kemudahan untuk mereka, lebih baik kita bincang isu kekurangan kemudahan awam seperti tandas untuk semua rakyat termasuk golongan minoriti ini,” jelasnya dalam sidang media di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Negeri Pulau Pinang di sini 16 Ogos 2018.

Hari ini, Mahmood Zuhdi menyampaikan ucaptama bertemakan Kukuhkan Dakwah, Pasakkan Perpaduan Ummah” dalam Konvensyen Majlis Dakwah Negara – Negeri Pulau Pinang, seharian di sini.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Haji Mohd. Yussof Latiff membentangkan kertas kerja berjudul Jati Diri Melayu – Islam Pulau Pinang.

Manakala, Mudir Pondok Baitul Quro, Melaka, Tuan Guru Haji Zulkifli Ismail pula membentangkan kertas persidangan berjudul Perpaduan Melayu – Islam Di Malaysia: Adakah Telah Berakhir?

Sebelum acara forum pada lewat petang ini, Pesuruhjaya MDN Pulau Pinang, Dr. Mohd. Syakir Mohd. Rosdi dijadual membentangkan kertas persidangan ketiga, berjudul Memahami Perpaduan Melalui ‘Tahaluf Siyasi’.

Mengulas lanjut kepada pemberita, Mahmood Zuhdi memberitahu, konvensyen MDN bukan sahaja akan berbincang mengenai bentuk program-program sokongan secara material yang wajar dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan baru, demi mengukuhkan bukan sahaja aspek perpaduan Melayu – Islam secara politik, malah isu-isu kelemahan ummah daripada aspek ekonomi juga.

“Perpaduan Melayu sebagai tulang belakang pada perpaduan negara, kalau kita tidak mempunyai teras, kita akan berhadapan dengan ‘perebutan’.

“Sebagai majoriti (rakyat), kita (MDN) mengharapkan orang Melayu menunjukkan solidariti kerana apabila mereka itu dilihat sebagai teras, maka perpaduan bangsa dengan semua kaum boleh berjalan lancar dengan baik.

“Sepatutnya fokus pada menyelesaikan masalah yang lebih utama… (antaranya) kelemahan orang-orang Melayu bukan daripada aspek politik sahaja, yang lebih teruk adalah kelemahan ekonomi,” ujarnya.

Tambah Mahmood Zuhdi, pihaknya turut memberi perhatian pada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Momamad baru-baru ini yang menyatakan bahawa komitmen tinggi untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan, terutama sekali mengenai Raja-Raja Melayu Malaysia, Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan serta kedudukan istimewa bangsa Melayu di tanah air ini.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain ketika menyampaikan ucapan perasmian konvensyen sebelum itu, turut menyatakan komitmen dalam Kerajaan Negeri hari ini menyokong usaha memperkuasa kerja-kerja dakwah serta program perpaduan umat Melayu – Islam terutama daripada aspek ekonomi.

Hampir 500 perwakilan, semuanya Melayu dan Islam, daripada kalangan penjawat awam, aktivis, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta semua wakil parti-parti politik turut menyertai konvensyen bersejarah di sini.

Oleh : ZAINNULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD