MINGGU Penyusuan Susu Ibu Sedunia diraikan setiap tahun pada minggu pertama bulan Ogos bermula 1 hingga 7 haribulan. Tahun ini, tema sambutan adalah ‘Utamakan Penyusuan Susu Ibu: Wujudkan Sistem Sokongan Yang Mampan’ yang memberi penekanan tentang pentingnya sokongan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, kesedaran umum tentang penyusuan susu ibu kini semakin meningkat berbanding dahulu.
“Dalam usaha ini, Kerajaan Negeri amat menggalakkan dan menyarankan supaya disediakan ruang penyusuan di premis-premis awam seperti di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta, pusat membeli-belah mahupun lokasi tumpuan umum.

“Di bangunan Komtar juga terdapat dua bilik laktasi iaitu di Tingkat 26 dan Tingkat 47 dalam usaha meningkatkan akses dan memberi kemudahan kepada penjawat awam wanita di sini.
“Malah, kita (Kerajaan Negeri) juga menyokong penuh program dan kempen berkaitan penyusuan susu ibu yang dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), misalnya.
Semua usaha ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyusuan susu ibu di samping melindungi, menyokong serta mempromosikan penyusuan eksklusif sejajar dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu mewujudkan sistem sokongan yang mampan.
“Maka saya ingin menyeru kepada semua, marilah kita bersama-sama membina persekitaran kondusif yang menyokong ibu menyusu demi kesejahteraan generasi masa depan,” ujarnya ketika dihubungi.
Nada sama turut disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng yang mahu melihat lebih banyak premis awam menawarkan kemudahan laktasi yang selesa.

Menurut Bee Leng, penyusuan susu ibu adalah permulaan hidup yang sihat kepada bayi dan bukan sekadar memberi makan.
“Maka, untuk benar-benar menyokong penyusuan susu ibu, kita juga perlu menyokong ibu bahkan lebih lagi, iaitu sokongan daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Jelas Bee Leng, sokongan menyeluruh adalah penting untuk memastikan penyusuan susu ibu menjadi suatu norma semula jadi yang harus dipupuk yang mana kita mesti membuang tanggapan lapuk bahawa penyusuan itu memalukan.
“Oleh itu, sejajar dengan tema tahun ini, kita perlu menyatakan sokongan yang melangkaui ruang yang mana saya percaya ia bermula dari rumah.
Suami atau pasangan dan ahli keluarga terdekat haruslah memberi dorongan dan sokongan moral kepada ibu-ibu yang menyusukan anak.
“Marilah kita bersama-sama menormalkan penyusuan susu ibu dan pada masa sama memperjuang kemudahan laktasi yang lebih baik supaya ibu-ibu berasa selamat serta yakin,” serunya yang juga Ketua Jabatan Pemerkasaan dan Kepimpinan Wanita PWDC.
Difahamkan, Minggu Penyusuan Susu Ibu merupakan inisiatif WABA dengan kerjasama badan-badan dunia seperti Tabung Kanak-Kanak Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Semalam, Jururawat Laktasi Hospital Pulau Pinang, Chew Mei Mei ketika ditemu bual oleh Mutiara.fm memberitahu bahawa pihak Hospital Pulau Pinang memperkenal Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) dalam usaha memastikan lebih ramai masyarakat menyokong amalan penyusuan susu ibu.
Katanya, inisiatif tersebut juga membolehkan bakal ibu mendapat pendidikan awal mengenai penyusuan susu ibu termasuk aspek penjagaan dan sokongan tambahan yang boleh membantu mengatasi kesukaran ataupun keyakinan untuk meneruskan penyusuan.
“Justeru, kita (di Hospital Pulau Pinang) akan membantu para ibu untuk menyusu secara eksklusif dengan mewujudkan sokongan yang berterusan.
Usaha ini menyumbang ke arah kesihatan bayi dan juga ibu sekali gus menggalakkan ibu-ibu untuk meneruskan penyusuan sekurang-kurangnya pada usia enam bulan pertama kehidupan bayi.
“(Hal ini kerana) susu ibu menjadi salah satu komponen penting diet untuk bayi yang baru lahir dan selepas usia enam bulan, barulah kita perkenalkan makanan pelengkap lain, tetapi pada masa sama meneruskan penyusuan sehingga usia dua tahun,” katanya.
Tambahnya lagi, susu ibu bukan sahaja membekalkan nutrien penting tetapi memastikan antibodi yang kuat yang boleh menyumbang kepada tumbesaran serta perkembangan otak bayi yang sihat.
“(Malah), susu ibu juga dapat mengurangkan prevalen penyakit (berkaitan pemakanan) kerana ia adalah semula jadi dan lebih sihat berbanding produk susu formula yang terdapat di pasaran.
“Lagipun, inisiatif penyusuan susu ibu dapat mengurangkan kebergantungan terhadap produk makanan bayi berasaskan industri yang turut memberi tekanan kepada alam sekitar,” jelasnya lagi.
Pada 25 Julai lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pusat Laktasi Kebangsaan melancarkan Jelajah MADANI Inisiatif Hospital Rakan Bayi – Hospital Swasta 2025 ke 31 hospital swasta di seluruh negara. Siri jelajah di Pulau Pinang akan melibatkan Hospital Adventist, Hospital Lam Wah Ee dan KPJ Penang Specialist Hospital pada 13 September 2025.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING