Bincang dengan negeri sebelum Putrajaya isytihar darurat, Kon Yeow respons spekulasi

JAWI – Kerajaan Persekutuan wajar berbincang dengan semua Kerajaan Negeri termasuk Pulau Pinang terlebih dahulu, jika benar mempunyai hasrat untuk mengisytiharkan darurat ekoran penularan kes wabak COVID-19 yang dipercayai semakin membimbangkan di negara ini.

Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mengulas mengenai desas-desus Putrajaya mahu melaksanakan perintah ‘darurat pentadbiran’.

“Spekulasi setakat ini masih berlegar dalam kalangan parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Peguam.

“Jadi, elok lah kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) tidak memberi ulasan kerana masih tiada gambaran terperinci (mengenai perkara itu).

“Kita mahu Kerajaan Persekutuan turut berbincang dengan Kerajaan Negeri terlebih dahulu,” responsnya selepas menyempurnakan acara perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Jenis A Taman Kalidonia Indah di sini pada 24 Oktober 2020.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa; Jagdeep Singh Deo dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar merupakan antara barisan kepemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai sidang media ringkas tersebut.

Sejak semalam, tular di media sosial mengenai desas-desus bahawa pentadbiran Perdana Menteri berhasrat mengisytiharkan perintah darurat.

Perintah ‘darurat pentadbiran’ itu turut digambarkan demi mempertahankan politik kekuasaan individu tertentu di Putrajaya, sebelum musim pembentangan Bajet 2021 Persekutuan di Parlimen yang dijadualkan pada bulan November ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD