PENAGA – Mulai 13 Mac 2026, Kerajaan Negeri akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM300 kepada para penyelia, guru dan kakitangan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Sekolah Agama Rakyat, institusi tahfiz, pondok dan tadika Islam di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Anak Yatim, Pelajar, Guru Agama dan Kariah di perkarangan Masjid Syeikh Adnan, Penaga di sini pada 10 Mac 2026.
“Sumbangan BKK ini sebagai tanda penghargaan terhadap peranan penting para pendidik dalam membimbing anak-anak kita dengan ilmu dan nilai murni,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini bagi tahun 2026 telah memperuntukkan lebih RM25 juta untuk agenda pembangunan masjid dan surau, yang mana terdapat peningkatan peruntukan berbanding tahun sebelumnya.
Menurut beliau, sehingga kini di Pulau Pinang mempunyai 258 masjid dan tujuh masjid baharu yang telah siap dibina serta beroperasi sejak tahun lepas.
Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) turut menyalurkan sumbahan Ihya’ Ramadan kepada masjid dan surau Jumaat serta peruntukan khas bagi program pengimarahan masjid.
Tambah beliau, pentadbirannya juga terus memberi perhatian kepada agenda pembangunan pendidikan Islam yang mana di Pulau Pinang sehingga kini terdapat lebih 350 sekolah Islam serta 222 kelas KAFA.
“Beberapa sekolah agama rakyat (SAR) juga sedang dibangunkan, antaranya di Kampung Selamat, Taman Berjaya dan Bandar Baru Ayer Itam, sebagai usaha memperkukuh pendidikan agama di peringkat akar umbi.
“Kerajaan Negeri juga terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada sekolah agama serta guru-guru KAFA, termasuk bantuan kepada SAR, sumbangan elaun kepada lebih 1,600 guru KAFA serta bantuan kepada guru-guru sekolah Islam di negeri ini.
“Melalui dana zakat MAINPP pula, pelbagai inisiatif kebajikan pendidikan dilaksanakan, antaranya, Program Kembali Ke Sekolah yang pada tahun ini memberi manfaat kepada lebih 23,000 pelajar asnaf di Pulau Pinang,” ujarnya sambil memberitahu bahawa semua usaha tersebut digerakkan melalui Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) serta selari dengan Visi Penang2030.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengumumkan pemberian sumbangan peruntukan untuk projek penaiktarafan struktur Masjid Syeikh Adnan, Penaga yang berjumlah RM50,000.
Pengerusi Jawtaankuasa Kariah Masjid Syeikh Adnan, Penaga, Mohamad Ali berucap sebelum pada itu antara lain menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Ketua Menteri kerana menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid berkenaan.
ADUN Penaga, Mohd. Yusni Md. Piah; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) atau PPK Penaga, Mohd. Naim Salleh turut hadir pada majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI