BKN limpah mafaat kepada pelajar, komited bangun modal insan berkualiti

Admin
861a0693 cddf 41f4 8758 5b3bb934fb38 KETUA Menteri (tiga dari kiri) dengan diiringi beberapa pemimpin negeri lain, menyerahkan cek cura bernilai RM81,240 kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya untuk diagihkan kepada seramai 120 penerima dari sembilan sekolah berkenaan, di sini pada petang tadi.

 

daerah Barat Daya pula seramai 120 penerima dari sembilan buah sekolah dengan peruntukan RM81,240.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan peruntukan sebanyak RM684,720 bagi pelaksanaan Biasiswa Kecil Negeri (BKN) Tahun 2026 yang melimpah manfaat kepada 1,000 pelajar baharu dari 110 buah sekolah menengah di seluruh negeri ini.

4c75dc66 208d 4f4f ac36 404d758733c6
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penganugerahan Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 di sini hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa jumlah tersebut mencatatkan penurunan kira-kira 26 peratus berbanding peruntukan tahun 2025 iaitu sebanyak RM926,160 yang diagihkan kepada 1,344 pelajar meliputi Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dari 112 buah sekolah.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata, pelarasan peruntukan itu berlaku susulan peningkatan penawaran biasiswa pada peringkat Kerajaan Persekutuan, sekali gus membolehkan sumber negeri disasarkan secara lebih optimum kepada golongan pelajar yang benar-benar memerlukan.

“Selaras dengan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri komited membangunkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.

“Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, anak-anak perlu dipersiapkan dengan ilmu serta kemahiran masa hadapan.

“Justeru, BKN diteruskan bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada peluang pendidikan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 di sini hari ini.

e8582f6b 6871 4ecd 88af 70ee57dd6804Turut hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Muhamad Ghopran Yeop Hamzah serta Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri (Sektor Pembangunan Murid), Fadzil Sadikin.

Mengulas lanjut mengenai pecahan agihan BKN mengikut daerah bagi tahun ini, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa daerah Seberang Perai Utara (SPU) mencatatkan jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 270 pelajar dari 28 buah sekolah dengan peruntukan RM185,760.

Ini, menurut beliau, diikuti daerah Seberang Perai Tengah (SPT) seramai 243 penerima dari 29 buah sekolah (RM165,960), Seberang Perai Selatan (SPS) seramai 212 penerima dari 16 sekolah (RM147,360), daerah Timur Laut melibatkan 150 penerima dari 28 sekolah (RM104,400), manakala daerah Barat Daya pula seramai 120 penerima dari sembilan buah sekolah dengan peruntukan RM81,240.

Selain bantuan kepada pelajar sekolah, beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM15.5 juta pada tahun 2026 bagi menyokong pembangunan pelbagai kategori institusi pendidikan termasuk sekolah agama rakyat, sekolah mubaligh, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), sekolah persendirian, pusat pendidikan Punjabi dan sekolah Tamil.

Pada masa sama, Kon Yeow menyatakan bahawa kesinambungan sokongan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi turut diteruskan menerusi inisiatif i-Bita yang menawarkan bantuan pendaftaran sebanyak RM1,000 bagi mahasiswa di Semenanjung Malaysia, RM1,200 untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ke Sabah dan Sarawak, serta RM300 bagi kemasukan ke politeknik.

Tambah beliau, sebanyak RM3.86 juta telah disalurkan kepada 3,863 pelajar menerusi inisiatif tersebut pada tahun lalu, manakala bagi tahun 2026, sejumlah 4,144 permohonan telah diterima dan kini sedang melalui proses semakan serta kelulusan di peringkat pejabat daerah.

“Kita berasa gembiralah kalau angka ini bertambah tiap-tiap tahun, ini menunjukkan murid-murid kita layak untuk ke peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pula,” ujarnya.

Mengakhiri ucapannya, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Unit Pinjaman Penuntut, Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, barisan pengetua serta guru biasiswa atas dedikasi mereka; di samping berpesan kepada semua penerima agar memanfaatkan bantuan tersebut sebagai pelaburan masa depan demi kebanggaan keluarga dan negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : NURATIKAH RAHMAT