BNM digesa wujud kaedah inovatif bantu pembeli rumah pertama – Exco

Admin

SIMPANG EMPAT – Bank Negara Malaysia (BNM) digesa wujudkan satu kaedah lebih inovatif untuk membantu pembeli mendapatkan pinjaman perumahan terutamanya pembeli rumah pertama.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, isu pembiayaan dan pinjaman untuk pembeli rumah pertama telah berlarutan sekian lama, justeru BNM selaku bank pusat perlu wujudkan satu dasar untuk membantu pembeli kategori (rumah pertama) ini.

ok

“BNM perlu menangani isu penolakan pinjaman perumahan pertama yang semakin tinggi sekarang.

“Bank tidak boleh sama ratakan pembeli rumah mampu milik (RMM) dengan pembeli yang sudahpun mempunyai rumah mewah… kerana apabila kita masuk (permohonan pinjaman) ke bank tidak ada perbezaan untuk kedua-dua kategori pemohon ini, itu tidak masuk akal.

“Oleh itu, untuk menangani isu ini kita (Kerajaan Negeri) akan terus mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan terutamanya BNM,” tegas beliau ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Projek Taman Sejahtera dekat Seberang Perai Selatan (SPS) di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah dan Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

Bagi mengatasi isu penolakan pinjaman rumah pertama, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak setahun yang lalu telah memperkenalkan kaedah sewa beli khusus untuk membantu golongan yang tercicir mendapatkan pinjaman ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan pertingkatkan penjualan rumah melalui kaedah sewa beli, di mana Kerajaan Negeri telahpun bersetuju agar 10 peratus daripada 220,000 pembinaan RMM yang disasarkan menjelang tahun 2030 akan dijual secara sewa beli.

“Daripada sasaran 22,000 secara sewa beli tersebut, sekarang sebanyak 2,474 unit telah dikenal pasti dan saya begitu komited kita mampu mencapai sasaran (22,000) ini,” tambah beliau.

Projek Taman Sejahtera yang dijangka menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dalam masa terdekat merupakan skim sewa beli bertanah berharga RM72,500 dengan keluasan 700 kaki persegi (kp).

Menurut Jagdeep, terdapat 41 unit keseluruhannya, di mana 26 unit telah diberikan tawaran, manakala bakinya (15 unit) akan ditawarkan kepada mereka yang layak.

“Pembeli hanya perlu membayar sebulan RM300 sebulan untuk tempoh masa 20 tahun dan untuk jangka masa tertentu (pembeli) dapat menjadi pemilik rumah ini.

“CCC dijangka akan diperolehi tidak lama lagi, jadi diharap mereka boleh masuk dan menyambut Aidilfitri di sini nanti,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS