BNM perlu buat keputusan mengenai isu penolakan pinjaman perumahan

DATOK KERAMAT – Masalah penolakan permohonan pinjaman bagi pembeli rumah pertama oleh pihak bank merupakan cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan dalam penyediaan rumah mampu milik kepada rakyat ketika ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, masalah tersebut dilihat serius sehingga telah dibangkitkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Negara pada 10 Februari lalu.

Justeru, beliau menggesa agar Bank Negara Malaysia (BNM) segera memberikan maklum balas selain membuat ketetapan yang jelas berhubung perkara itu.

“Isu penolakan pinjaman perumahan yang tinggi telah lama dibangkitkan oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu dan turut disuarakan semula pada mesyuarat baru-baru ini oleh Perdana Menteri.

“Jadi saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana beliau bersetuju bahawa isu ini perlu ditanganisecepat mungkin.

“BNM sendiri pernah datang ke Pulau Pinang untuk berbincang namun hingga kini belum ada keputusan dibuat namun memandangkan Perdana Menteri sendiri telah bersuara, saya mahu satu keputusan mengenainya dibuat,” ujarnya pada media Pemberian Sumbangan Kepada Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Bantuan Pendidikan Kepada Anak-anak Ahli Persatuan Penjaja Lorong Kulit di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ketua Pegawai Bisnes Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhurrazi Ibnu Omar dan Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep sekali lagi mengulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan tanah sesuai bagi menambah bilangan unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pulau Pinang.

“Kita sudah kenal pasti lima (kawasan) dan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah bersetuju dengan dua lokasi tetapi kita masih memerlukan banyak lagi perumahan sedemikian rupa,” maklum beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Pada kesempatan sama, Jagdeep dan Rayer turut mengunjungi Pangsapuri Medan Ria di Jalan Samak untuk menyampaikan sumbangan bersempena perayaan Tahun Baru Cina.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR