Bonggol elak kemalangan

ROSIDI Hussain (depan, kanan sekali) bersama salah seorang peserta program mengangkat sampah bersempena penganjuran Program Gotong-royong Perdana Kariah Masjid Kuala Muda dan Program Anak Angkat (mahasiswa/mahasiswi Pulau Pinang) baru-baru ini.

PENAGA – Demi keselamatan masyarakat setempat, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Penaga mengambil inisiatif khas untuk membina bonggol di persimpangan Permatang Bendahari di sini.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Ramlah, 40-an, berkata, beliau amat bersyukur atas tindakan pantas PPK yang sudi turun padang untuk mendengar aduan rakyat dan akhirnya menunaikan janji beliau berhubung pembinaan bonggol berkenaan.

Kos pembinaan bonggol tersebut adalah bernilai RM60,000.

Sementara itu, bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri ke arah menjadikan Pulau Pinang Bersih dan Hijau, PPK turut menganjurkan Program Gotong-royong Perdana Kariah Masjid Kuala Muda dan Program Anak Angkat (mahasiswa/mahasiswi Pulau Pinang) di sini baru-baru ini.

Menurut PPK Penaga, Rosidi Hussain, program hasil usahasama Pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK), Bakau Tua, kepimpinan masyarakat dan ahli jawatankuasa masjid Kuala Muda telah berjaya mengumpulkan seramai 450 peserta secara keseluruhan.