Bosch labur RM2.2 bilion, wujud 2,000 peluang kerja

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

MARTIN Hayes (dua dari kanan) bertukar-tukar dokumen dengan Rosli Jaafar (dua dari kiri) sambil diperhatikan Lee Kah Choon (kiri sekali) dan Ketua Menteri pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penjualan dan Pembelian PDC dan BSE di sini barubaru ini.
MARTIN Hayes (dua dari kanan) bertukar-tukar
dokumen dengan Rosli Jaafar (dua dari kiri) sambil
diperhatikan Lee Kah Choon (kiri sekali) dan Ketua
Menteri pada Majlis Menandatangani Perjanjian
Penjualan dan Pembelian PDC dan BSE di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Pencapaian Pulau Pinang sebagai jaguh pelaburan sememangnya tidak dapat disangkalkan apabila Bosch Solar Energy (M) Sdn. Bhd. (BSE) mengumumkan untuk melabur dan menubuhkan sebuah tapak sistem bersepadu fotovoltan berhablur (fully integrated crystalline photovoltaic plant – PV) di Batu Kawan, Seberang Perai Tengah di sini tahun lalu Menurut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, pelaburan BSE yang bernilai hampir Euro 520 juta atau kira-kira RM2.2 bilion bukan sahaja suatu pelaburan yang besar, malah, turut mampu mewujudkan hampir 2,000 peluang pekerjaan apabila tapak berkenaan beroperasi sepenuhnya kelak.

“Pulau Pinang menjangkakan peningkatan lebih 30% dalam sektor pembuatan dan sektor solar bagi tahun hadapan apabila proses pembuatan bersepadu PV dilaksanakan kelak,” ucapnya dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Penjualan dan Pembelian (Sale and Purchase Agreement) antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (Penang Development Corporation – PDC) dan BSE di pejabat beliau di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden merangkap Pengarah Urusan Robert Bosch Asia Tenggara, Martin Hayes; Pengarah BSE, Lars Stock; Pengarah Urusan Komersil Bosch Pulau Pinang, Michael Kloss; Pengarah Urusan Teknikal Bosch, Tan Chee Kiang; Pengarah Jualan Robert Bosch, Royce Tan; Pengerusi Eksekutif Ahli Lembaga Pengarah investPenang, Datuk Lee Kah Choon; Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Pengurus Besar investPenang, Loo Lee Lian.

Selain itu, tambah beliau, sebuah data oleh GTM Research iaitu salah sebuah syarikat analisis pemasaran berasaskan teknologi hijau yang beroperasi di Amerika Syarikat telah menyenaraikan peratusan negara-negara yang mempunyai sektor pembuatan dan penghasilan PV iaitu, China dan Taiwan memperoleh 59% tenaga hasil sektor ini diikuti oleh benua Eropah (13%), Jepun (9%) dan Amerika Utara (5%). Manakala selebihnya, iaitu 14% terdiri daripada beberapa negara di Asia Tenggara termasuk Singapura, Filipina dan Malaysia.

Pada tahun 2010, Pertubuhan Industri Fotovoltan Malaysia (Malaysia Photovoltaic Industry Association – MPIA) menyatakan bahawa Malaysia merupakan negara keempat utama di dunia yang menghasilkan tenaga hasil sektor PV ini.

“Menjelang 2014, saya percaya dengan pelaburan oleh BSE, Malaysia akan menjadi negara kedua utama yang menghasilkan tenaga PV selepas China”.

“Malah, mampu menjadi negara utama yang menghasilkan tenaga PV menjelang 2020 sebagai suatu realiti,” ujar Ketua Menteri lagi.

Menurut rekod, antara tahun 2000 sehingga tahun 2010, penghasilan tenaga melalui sektor solar ini meningkat 100 kali ganda dari 277 megawatt (Mw) ke 24,000 Mw. Malah, bagi tahun 2010, sejumlah 16,000 Mw telah disalurkan ke lebih 100 buah negara seluruh dunia, iaitu rekod terbanyak jumlah tenaga yang telah dihasilkan.