Bosch labur RM66 juta lagi di P. Pinang

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BAYAN LEPAS – Syarikat dari Jerman, Bosch Car Multimedia Penang (Bosch) melabur lagi RM66 juta di Pulau Pinang, sungguhpun persekitaran ekonomi tanah air belakangan ini dalam keadaaan tidak menentu.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap negeri ini terus menjadi destinasi pelaburan pilihan terbaik di rantau ini. “Syarikat (Bosch) telah menyumbang dengan ketara kepada Kerajaan Negeri.

“(Pelaburan terbaru) RM66 juta mendorong agar Pulau Pinang boleh terus menjadi destinasi pelaburan pilihan, walaupun iklim ekonomi semasa adalah tidak menentu,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Bahagian Bangunan Baharu Bosch di Zon Perindustrian Bebas (FTZ) di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Herbert Weiler (Konsul Kehormat Jerman ke Pulau Pinang), Datuk Lee Kah Choon (Penasihat Khas kepada Ketua Menteri) dan Loo Lee Lian (Pengurus Besar investPenang) turut sertai majlis itu.

Hadir sama, beberapa pemimpin utama firma pembuatan peranti kereta Bosch, antaranya Dr. Li Song (Pengarah Urusan Komersial), Johan Karlsson (Pengarah Urusan), Dr. Martin Griebel (Ketua Pembangunan Produk dan Kejuruteraan), Liew Wei Min (Ketua Operasi Pengilangan SMT).

Tambah Guan Eng, pelaburan terbaru Bosch itu sekaligus diharap memulihara serta meremajakan lagi FTZ Bayan Lepas.

Selain itu, beliau memberitahu, Pulau Pinang berjaya mencipta rekod tersendiri, iaitu dalam tempoh lapan tahun antara 2008 hingga 2015 mencatatkan pelaburan sebanyak RM55 bilion, dengan peningkatan 90 peratus berbanding RM29 bilion dalam tempoh lapan tahun sebelum itu (2000 hingga 2007).

Sebelum itu, Li Song menyatakan bahawa pelaburan terbaru Bosch meluaskan kawasan kilang adalah bagi menghasilkan peranti info pandang dengar dan navigasi automotif bersepadu untuk pasaran Asia Tenggara.

“Kilang Car Multimedia di Pulau Pinang telah dipilih sebagai salah satu pusat pembangunan global Bosch berdasarkan beberapa faktor, termasuk dari segi mempunyai jurutera tempatan yang mencukupi dan berkelayakan, selain lokasi strategik untuk membekalkan dan mengeksport produk kami ke seluruh dunia,” jelasnya.

Ujar beliau, sejak 2015, Bosch mempunyai 150 jurutera dan meningkat pada bilangan 220 orang pada tahun ini.

Difahamkan, hampir 90 tahun lalu sejak 1923, Robert Bosch Sdn. Bhd. (Bosch Malaysia) membuka kilang di Selangor dan Johor, manakala bertapak di Pulau Pinang sejak 40 tahun lalu. Bosch Malaysia pada tahun 2014 direkodkan menyumbang jualan sebanyak RM552 juta