Deruman ‘kereta’ meriahkan trek lumba Jln. Tengah

VROOOOMM… Bunyi deruman enjin kereta kawalan jauh atau radio-controlled car (RC) di trek lumba dekat Pesisir Sungai Keluang, Jalan Tengah, Pantai Jerejak sempena kejohanan ‘The Dirt Northern Nitro Challenge’ di sini baru-baru ini bukan sahaja meriah, malah menjadi tarikan pengunjung untuk singgah bersantai bersama-sama keluarga.

Apatah lagi, kejohanan yang julung kali diadakan itu turut mendapat penyertaan peserta dari Hong Kong, Indonesia dan Jepun.

Dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, litar yang mula dibuka kepada umum sejak Jun tahun lalu itu adalah hasil inisiatif peminat RC dan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman turut meluangkan masa menyaksikan kejohanan tersebut.

Disertai 60 peminat RC, Tze Tzin berharap trek tersebut dapat digunakan sebaik mungkin bukan sahaja peminat RC, tetapi juga mereka yang ingin berjinak-jinak dengan kereta kawalan jauh.