Budaya membaca lahirkan generasi intelektual

Admin

BUKIT TENGAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad mengajak masyarakat di negeri ini untuk meneruskan budaya ‘dahaga ilmu’ dalam memupuk sifat suka membaca.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) berkata, budaya membaca diyakini mampu melahirkan generasi yang lebih intelektual dalam memacu pembangunan terutamanya di negeri Pulau Pinang pada masa depan.

“Slogan ‘Membaca Jambatan Ilmu’ merupakan satu ungkapan malar segar yang harus diterapkan dalam kehidupan seharian agar ia mampu melahirkan generasi berilmu.

“Justeru, masyarakat pada hari ini perlu berani berubah ke arah lebih baik selaras dengan slogan PPAPP iaitu Jom Peduli Info (PIN), yang mana kita semua perlu peduli mengenai informasi untuk kaya, berjaya dan ternama,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Peramian Pesta Buku Pulau Pinang 2022 dekat sini baru-baru ini.

Perasmian Pesta Buku Pulau Pinang 2022 disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Menurut Mustafa Kamal, beliau percaya bahawa buku perbentuk fizikal masih lagi mempunyai penggemar yang tersendiri walaupun berdepan saingan hebat dengan bahan-bahan bacaan elektronik.

“Walaupun jualan buku fizikal kini terpaksa bersaing dengan buku-buku berbentuk digital, namun saya percaya bahawa buku fizikal masih punyai ramai peminat dan bernilai sentimental,” ujarnya lagi.

Antara pengisian menarik sepanjang pesta buku yang berlangsung dari 1 hingga 6 Mac lalu adalah pertandingan mewarna, pertandingan permainan tradisional, bengkel robotik, sesi bual bicara dan lain-lain.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD