Bukan George Town saja dipromosi sebagai produk pelancongan negeri, Exco respons pembangkang

Admin
8c013ae9 df5b 4d01 844f 41381ab6819a

GEORGE TOWN – Selain George Town, Kerajaan Negeri turut komited membangunkan potensi pelancongan di Balik Pulau, Teluk Bahang serta ketiga-tiga daerah Seberang Perai.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai menjelaskan perkara itu sebagai respons pada isu yang dibangkitkan oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sebelum ini.

“Bagi menjawab soalan YB Permatang Berangan (Mohd. Sobri Saleh) dan YB Teluk Ayer Tawar (Azmi Alang), saya telah mempelawa Thinkcity dengan bahan promosi Seberang Perai untuk pameran di perkarangan koridor Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini,” jelasnya semasa membuat ucapan penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 19 November 2025.

Bukan setakat itu sahaja, jelas Hon Wai lagi, reruai pameran bagi mempromosi produk pelancongan berkaitan Seberang Perai turut akan diadakan dalam Festival Pinggiran Butterworth (BFF) di Butterworth pada 22 dan 23 November nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, Hon Wai turut memberitahu bahawa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang memasang mercu tanda ekopelancongan di Lebuh Banting yang mana dijangka siap pada Januari tahun depan.

“Dalam usaha memperkasakan Lebuh Banting sebagai salah satu produk ekopelancongan Seberang Perai, MBSP telah mewujudkan plot dalam inventori produk pelancongan yang mana dalam proses verifikasi akhir dan Sesi Libat Urus Bersama pemegang taruh akan diadakan pada 26 November 2025,” jelasnya lagi.

Respons Hon Wai itu sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh Mohd. Sobri semasa membahaskan Belanjawan 2026 Pulau Pinang, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING