Bukit Bendera diiktiraf sebagai Rizab Biosfera UNESCO ketiga Malaysia

Admin

AIR PUTIH – Pengiktirafan Bukit Bendera Sebagai Tapak Rizab Biosfera Di Bawah Program Man and The Biosphere (MAB) UNESCO Rizab Biosfera UNESCO menjadikan pengiktirafan yang ketiga dalam negara selepas Rizab Biosfera Tasik Chini  (Pahang) dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker (Sabah).

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa pengiktirafan berkaitan merupakan penghargaan kedua yang diterima Pulau Pinang selepas George Town diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008.

 

“Sudah tentu di sebalik projek ini, terdapat sebuah pasukan yang giat melakukan aktiviti penyelidikan serta menyediakan dossier pencalonan sejak tahun 2016 dan setelah berusaha selama empat tahun, dossier tersebut akhirnya berjaya dihantar ke UNESCO untuk penilaian pada bulan September 2020.

 

“Pada 15 September 2021, Rizab Biosfera Bukit Bendera berjaya disenaraikan di bawah Program Manusia dan Biosfera UNESCO pada Mesyuarat The 33rd Session of the Man and the Biosphere Programme International Coordinating Council (MAB-ICC) yang diadakan di Abuja, Nigeria pada 13 September 2021 hingga 17 September 2021 setelah hampir setahun proses penilaian dijalankan.


“Sebagaimana impian bersama dalam merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, detik bermakna ini telah menjadi batu loncatan yang amat penting buat Pulau Pinang bagi merancakkan lagi agenda pembangunan lestari,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Bukit Bendera Sebagai Tapak Rizab Biosfera Di Bawah Program MAB UNESCO di sini hari ini.

 

Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Ali Anak Biju; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan  Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Dato’ Cheok Lay Leng.

 

Tambah Kon Yeow, ekoran pengiktirafan Rizab Biosfera Bukit Bendera tersebut, Kerajaan Negeri amat teruja untuk terus meningkatkan usaha bagi menjadikan Bukit Bendera dan kawasan sekelilingnya sebagai destinasi eko pelancongan pilihan serta lokasi pembelajaran bertaraf dunia bagi meneroka serta menggambarkan kaedah pemuliharaan, pembangunan lestari, pendidikan dan penyelidikan.

 

“Bagi menyahut usaha ini, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.22 juta di bawah Bajet Negeri 2022 kepada Taman Botani Pulau Pinang yang merupakan sebahagian kawasan di bawah Rizab Biosfera Bukit Bendera.

 

“Bajet tersebut merangkumi peruntukan untuk pembangunan, pembaikan dan penaiktarafan kemudahan, infrastruktur, landskap dan hortikultur,” ulasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Dalam sidang media yang diadakan seusai majlis berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa PBBPP akan menubuhkan sebuah unit kerja khas bagi memastikan rizab biosfera berkaitan kekal terpelihara sebagaimana garis panduan ditetapkan UNESCO.

 

“Serentak itu, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan pelan pengurusan, malah juru perunding juga sudah dilantik untuk melihat bagaimana kita dapat memastikan pemeliharaan, pemulihan dapat dilakukan dengan mematuhi segala garis-garis panduan serta syarat ditetapkan UNESCO.

 

“Pengiktirafan ini bukanlah satu penamat, tetapi satu permulaan kepada suatu tanggungjawab yang besar,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : DARWINA MOHD DAUD