Gelar ‘pendatang’ perlu hukuman berat, gesa Anwar Ibrahim

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT TAMBUN – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan menggelargelar mana-mana warganegara sebagai ‘pendatang’ jika di beberapa negara Eropah sudah pasti berdepan dengan hukuman yang berat.

Ketegasan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu adalah sebagai respons pada tindakan seorang perwakilan Johor dalam mesyuarat agung tahunan parti Gerakan baru-baru ini, Tan Lai Soon yang mendakwa Melayu pun sebenarnya adalah pendatang di negara ini.

“Kalau perkara ini berlaku di UK (United Kingdom) atau Amerika (Amerika Syarikat), saya tahu seorang ahli kongres yang kanan terpaksa meletakkan jawatan selepas mempertikai atau mempersoal atau menyebut mengenai kedudukan orang kulit hitam atau ‘Negro’ mengenai sejarah asal usul mereka.

“Mengapa perlu bangkit isu pendatang…saya fikir Kerajaan Pusat perlu tegas,” ujarnya kepada wartawan pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediaman Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataan bersama turut menyeru Putrajaya supaya menyemarakkan lagi semangat Malaysia dalam kalangan masyarakat tanpa mengira warna kulit, agama serta ideologi politik.

Malah, katanya, mana-mana pihak yang membangkitkan isu ‘pendatang’ sepatutnya didakwa di mahkamah secara adil sungguhpun mereka itu mungkin adalah ahli politik yang mesra dengan pentadbiran Kerajaan Pusat.

“Kita semua anak Malaysia tak kiralah anak Iban, anak Kadazan, anak Cina, anak India atau anak Melayu sendiri.

“Mana-mana pihak yang menggunakan istilah itu (‘pendatang’) seharusnya dikenakan tindakan…jangan lah satu pihak cakap ‘pendatang’ kena (tindakan undang-undang), satu pihak lain boleh tak kena,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri dan pemimpin pelbagai peringkat hadir pada rumah terbuka Ramasamy, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.