Bukit Juru sebagai destinasi ekopelancongan Seberang Perai, cadang ADUN

BUKIT TENGAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung mencadangkan agar kawasan Bukit Juru, di sini dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan di Seberang Perai.

Menurutnya, kertas cadangan berkaitan perkara itu telah dikemukakan kepada Pejabat Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin pada 15 Oktober lalu.

“Cadangan ini dikemukakan selepas mengambil kira pengumuman Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow) bahawa Kerajaan Negeri kini sedang merangka Pelan lnduk Pembangunan Pelancongan Negeri Pulau Pinang yang mana Seberang Perai juga akan dimasukkan di dalam kerangka tersebut.

“Malah, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (Dato’ Sr. Rozali Mahmod) juga menyatakan bahawa kawasan Seberang Perai mempunyai potensi yang cukup besar untuk dibangunkan sebagai hab ekopelancongan bagi negeri ini.

“Oleh itu, selepas mengambil maklum balas serta pandangan penduduk setempat dan stakeholders, maka Bukit Juru telah dipilih sebagai kawasan paling sesuai untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan,” katanya pada sidang media dekat Pejabat Khidmat ADUN Bukit Tengah, di sini sebentar tadi.

Jelasnya lagi, pemilihan Bukit Juru sangat tepat memandangkan kawasan berkenaan mempunyai pelbagai tarikan semula jadi yang unik selain lokasinya yang terletak berhampiran pantai dan muara sungai.

“Walaupun dikelilingi oleh kawasan industri yang pesat namun Bukit Juru masih mengekalkan kehijauan dari persekitaran semula jadi yang tenang untuk berehat dan bersantai.

“Kawasan ini juga mudah diakses dari pulau melalui Jambatan Pulau Pinang selain tarikan lain yang boleh dilawat dari kawasan Bukit Juru seperti Pulau Aman dan Pulau Jerejak melalui bot, Tokong Tow Boo Kong, Gereja St. Anne, Taman Burung Pulau Pinang, Perkampungan Juru serta Auto-City Riverpark,” ujarnya.

Justeru, Hsiao-Leung menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan cadangan tersebut kerana ia bukan sahaja mampu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat malah mampu mengekalkan keindahan alam semula jadi pada masa akan datang.

“Saya amat berharap agar Kerajaan Negeri dapat membuat pertimbangan yang serius terhadap cadangan untuk menjadikan Bukit Juru sebagai pilihan ekopelancongan di negeri ini.

“Banyak manfaat bakal dinikmati masyarakat setempat jika hasrat ini berjaya direalisasikan,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : FOONG CHEE YIN