Buku garis panduan jadi rujukan seragamkan tatacara proses permohonan tanah

Admin

GEORGE TOWN – Buku Garis Panduan Memproses Permohonan Tanah di bawah Pentadbiran Tanah Negeri Pulau Pinang yang diserahkan pagi ini akan menjadi rujukan kepada Pentadbir Tanah di negeri ini dalam memastikan penyeragaman tatacara pemprosesan permohonan tanah.

 

Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Komtar pagi ini.

 

ZULKIFLI Long (kiri) menyerahkan buku Garis Panduan Memproses Permohonan Tanah di bawah Pentadbiran Tanah Negeri Pulau Pinang kepada Ketua Menteri dalam majlis ringkas di Komtar pada 19 Ogos 2021. Hadir sama, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kanan sekali).

Penyerahan dilakukan oleh Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long kepada Kon Yeow yang kemudiannya diserahkan kepada wakil Pentadbir Tanah iaitu Rosli Halim selaku Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut.

 

Buku yang mengandungi 13 garis panduan permohonan dibukukan itu adalah panduan administratif yang akan digunakan sebagai bahan rujukan semua anggota pentadbiran tanah di Pulau Pinang, dan akan ditambah baik dari masa ke masa berdasarkan Akta, Pekeliling dan Dasar semasa.

 

Diharapkan dengan adanya buku garis panduan berkenaan, semua anggota pentadbiran tanah dapat memahami dengan jelas tatacara memproses permohanan tanah sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

 

Difahamkan, buku tersebut telah diinisiatifkan oleh Rohani Hassan selaku Pegawai Penyelaras Urusan Tanah bersama-sama pegawai-pegawai di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang serta Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Pulau Pinang.

 

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS