Buku Sejarah Balik Pulau; dokumentasi penting warisan tempatan

Admin
1d75594d e260 4a53 9635 7a1a87cefab0

GEORGE TOWN — Penerbitan buku Sejarah Balik Pulau: Kajian Tempatan dan Perubahan disifatkan sebagai usaha penting dalam merakam warisan, identiti serta perjalanan sosio-budaya masyarakat Balik Pulau secara menyeluruh, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

691f34fb 7e0f 4660 b971 913575e0b84a
KETUA Menteri.

Menurut beliau, karya setebal 964 muka surat yang dihasilkan secara solo oleh pengarangnya, Chin Choong Yin itu bukan sekadar catatan sejarah masa lalu, malah berperanan sebagai panduan kepada generasi kini dan akan datang dalam memahami nilai warisan tempatan, selari dengan aspirasi Visi Penang2030.

“Buku ini merakam pelbagai peristiwa dan aspek penting yang pernah berlaku di Balik Pulau, sebuah wilayah di Daerah Barat Daya, sekali gus memperkukuh kefahaman terhadap identiti komuniti setempat,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran buku berkenaan di Komtar, sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Gooi Seong Kin; Pegawai Seranta kepada Ahli Parlimen Balik Pulau, Edward Tan Chiew Choon; pengarang buku, Chin Choong Yin serta penerbit, Richard Lim.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa penekanan terhadap aspek warisan mampu memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk menghargai akar sejarah serta mengekalkan nilai budaya setempat.

015112a9 71ec 4891 9eee bf181a219c01 a5de5551 9876 4cbc ae1a 552a7ad64b4f 646a7b1c a034 4817 9d79 871320ffc7a3
Buku berkenaan, jelasnya, menggariskan perkembangan awal penempatan bermula dari Kampung Pondok Upeh, yang dikenali sebagai kampung tertua di Balik Pulau sehinggalah ke Perkampungan Acheh termasuk Kampung Pantai Acheh sebagai kampung perairan pertama di kawasan tersebut.

“Selain itu, kandungannya turut merangkumi perkembangan strategik Balik Pulau dari aspek keagamaan, kepercayaan, pendidikan, corak kehidupan serta aktiviti kebudayaan masyarakat sejak era pentadbiran British.

“Perkembangan sektor pertanian yang pada asalnya bersifat sara diri sebelum berkembang menjadi pertanian komersial turut direkodkan, sekali gus memperlihatkan bagaimana warisan tradisi dapat disepadukan dengan pembangunan ekonomi,” katanya.

Sebagai individu yang mempunyai pertalian rapat dengan Balik Pulau, Kon Yeow berkata bahawa kawasan itu sentiasa dekat di hatinya.

Beliau berharap penerbitan buku tersebut dapat dijadikan bahan rujukan serta sumber kebanggaan, khususnya kepada warga Balik Pulau dan amnya rakyat Pulau Pinang.

“Saya berharap lebih ramai pihak dapat mengenali, menghargai dan seterusnya menyumbang kepada usaha memelihara warisan demi kemajuan masyarakat dan negeri,” katanya lagi.

Choong Yin yang merupakan anak jati Balik Pulau memberitahu bahawa ketiadaan dokumentasi bercetak yang bersifat profesional mengenai sejarah Balik Pulau menjadi pencetus kepada penyelidikan beliau selama enam hingga tujuh tahun lalu.

“Kandungannya dibahagikan kepada dua bahagian utama, merangkumi rekod fakta sejarah serta kajian lanjutan termasuk aspek arkeologi, penemuan awal tapak Bukit Pelabuhan dan rujukan kepada lokasi bersejarah sekitar Balik Pulau.

“Edisi Bahasa Melayu buku ini ditawarkan pada harga RM288 dan diterbitkan atas tanggungan saya sendiri,” katanya.

Difahamkan, buku ini turut mencatat pelbagai peristiwa bersejarah seperti pendudukan Jepun, pentadbiran British, kehadiran Komunis, sambutan Kemahkotaan Queen Elizabeth II serta kemerdekaan Tanah Melayu selain sumbangan tokoh-tokoh perniagaan dan pembangunan tempatan.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN