Bulan Kemerdekaan satukan rakyat Malaysia di bawah payung Jalur Gemilang – Kon Yeow

BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap sambutan Bulan Kemerdekaan dapat menyatukan semua rakyat Malaysia di bawah satu payung Jalur Gemilang.

Beliau berkata, perkara tersebut adalah amat penting untuk memupuk kecintaan kepada negara, mengeratkan kerjasama serta mengeratkan silaturahim.

“Tidak kisah dari negeri mana, penyokong dari parti mana, tetapi Bulan Kemerdekaan adalah tempoh masa untuk kita mengenepikan perbezaan-perbezaan berkaitan dan mencari titik persamaan untuk negara kita.

“Sambutan tahun ini juga cukup bermakna memandangkan pelbagai isu serta cabaran yang kita hadapi di bawah satu Kerajaan Persekutuan baharu yang masih menyesuaikan diri dengan pentadbiran, pengubalan dasar-dasar yang mungkin tidak dapat memberi kepuasan kepada rakyat dalam satu tempoh pendek.

“Jadi mungkin ada rungutan dan sebagainya, tetapi apabila tiba Bulan Kemerdekaan, kita harap semua rakyat dapat bersama di bawah payung Jalur Gemilang,” ujarnya dalam sidang media di Majlis Makan Malam Meraikan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 dekat Tapak Pesta Sungai Nibong malam ini.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Mohd. Ali Sebran.

Mengulas mengenai kempen kibar Jalur Gemilang, Kon Yeow menyatakan bahawa ia bukan bermakna sekadar mengibarkannya secara fizikal, sebaliknya apa yag lebih penting adalah penghayatan ia.

“Apa yang lebih penting adalah penghayatan nilai-nilai serta semangat yang dizahirkan oleh Jalur Gemilang untuk kita menggilap kembali semangat patriotisme dan kecintaan kita kepada tanah air,” jelasnya yang juga ADUN bagi kawasan Padang Kota.

Difahamkan sebanyak 62 kenderaan dari agensi kerajaan dan swasta menyertai KMJG yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 3 Ogos lalu di Melaka.

Konvoi tersebut melakukan jelajah seluruh Semenanjung Malaysia dan akan ke Sabah dan Sarawak pada September nanti dengan jarak anggaran kira-kira 6,200 kilometer.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI