Bulan Sukan Negara diharap dapat didik masyarakat bersukan setiap hari – EXCO

Admin

BAGAN DALAM – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berharap agar Bulan Sukan Negara yang sambut pada minggu kedua bulan Oktober setiap tahun mampu mendidik serta menginspirasi masyarakat untuk bersukan pada setiap hari.

Katanya, masyarakat di Pulau Pinang khususnya tanpa mengira umur, bangsa dan juga jantina dapat menjalankan aktiviti bersukan walaupun hanya mengambil masa 30 minit.

“Saya harap semua jabatan kerajaan mahupun sektor swasta dapat mengamalkan aktiviti kesukanan supaya negara menjadi sihat di samping menghasilkan tenaga kerja yang produktif.

“Program ini juga selaras dengan usaha diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu ‘Sukan untuk Semua’ sebagai platform untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya semasa melancarkan Bulan Sukan Negara dekat Padang Dato’ Haji Ahmad Badawi, di sini pada 12 Oktober lalu.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq.

Mengulas lanjut, Lip Chee memberitahu bahawa Sukan Untuk Semua bukan hanya mengetengahkan sukan-sukan yang popular malah turut dipromosikan sukan yang kurang dikenali seperti mengadakan klinik bagi acara berkaitan.

“Saya mengharapkan warga negeri yang hadir program ini dapat menyampaikan mesej kepada kenalan untuk turut bersama-sama bersukan demi kesihatan yang sempurna.

“Rakyat yang sihat dan negara bersih adalah harapan untuk kita,” serunya yang juga ADUN Bagan Jermal.

Dalam perkembangan berkaitan, Lip Chee berharap agar sebahagian daripada peruntukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini dapat digunakan untuk membina lebih banyak kompleks serta fasiliti sukan.

“Selain membina baru, kompleks-kompleks sukan yang sedia ada juga perlu dinaik taraf dan diselenggara demi keselesaan pengguna,” katanya sejurus selesai menyempurnakan pelepasan peserta bagi acara kayuhan sejauh 30 kilometer (km) dan larian (5km) tersebut.

Teks & Gambar : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN