Cukai taksiran demi jayakan pelbagai projek ke arah kesejahteraan penduduk

Admin
MELVIN Low ceria bersama televisyen yang berjaya dibawa pulang hari ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Bilangan pembayar cukai taksiran yang layak memenangi cabutan bertuah meningkat kepada 58,386 tahun ini, ujar Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Addnan Mohd. Razali.

Addnan berkata, MBPP menyambut baik peningkatan itu berbanding hanya 28,471 pembayar sahaja yang layak pada tahun lalu.

“Dalam menghargai pembayar-pembayar cukai yang membuat bayaran untuk satu tahun dan tiada tunggakan, 50 akaun terpilih dicabut untuk memenangi hadiah cabutan bertuah khas.

“MBPP berharap dengan peningkatan kesedaran menjelaskan cukai taksiran yang merupakan hasil utama setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), ia dapat ditingkatkan setiap tahun dalam menjayakan pelbagai projek ke arah kesejahteraan penduduk di Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Penerima Cabutan Hadiah Cabutan Cukai Taksiran di sini 8 Mei lalu.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan serta pegawai-pegawai MBPP terlibat.

Bagi pemenang tempat kedua, MELVIN LOW, 64, beliau menyifatkan inisiatif MBPP tersebut wajar dipuji dalam menarik minat pembayar cukai taksiran.

“Masa hendak buat bayaran di kaunter, mereka beritahu saya tentang perkara ini (kelayakan cabutan bertuah) jadi saya terus buat, senang sahaja.

“Ini merupakan kali pertama saya masuk dan tidak sangka terus dapat bawa pulang televisyen 43 inci ini dan saya bercadang untuk membuat pembayaran sekaligus (setahun) pada masa akan datang,” jelasnya ketika ditemui Buletin Mutiara sejurus majlis berkaitan.