Cadangan gabung pelan pembangunan 3 daerah Seberang Perai dikaji

DATUK KERAMAT – Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) negeri kini sedang mengkaji cadangan Kerajaan Negeri sama ada untuk menyatukan pelan projek pembangunan bagi keseluruhan Seberang Perai iaitu membabitkan tiga daerah di sini bagi memudahkan pelaksanaannya.

Exco Perancangan Bandar dan Desa & Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pembangunan Negeri (SPC) dalam masa terdekat.

“JPBD sedang mengkaji berkenaan pelan ini sekarang, jika ia boleh dilaksanakan, maka tiada lagi pelan yang dipecahkan mengikut daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Tengah (SPT) serta Selatan (SPS) dan apabila lulus, kita (JPBD) akan mewartakan pelan berkaitan.

“ Keperluan untuk melaksanakan sesuatu pelan adalah begitu penting kerana ia melibatkan banyak projek besar seperti Pelan Induk Pengangkutan ( PIP ) , pembangunan Batu Kawan dan beberapa projek lain yang perlu ‘ digabung ‘ bagi memudahkan pelaksanaannya,” katanya selepas program mengedarkan kalendar tahun baru di sekitar Pasar Awam Jalan Kuantan di sini baru-baru ini.

Pada program berkaitan, lebih 100 kalendar diedarkan secara percuma kepada para peniaga dan pengunjung di sini.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa apabila pelan tersebut berjaya digazetkan , ia mampu menjadi garis panduan bagi pembangunan masa depan dan susun atur perancangan kawasan Seberang Perai.

“ Saya berharap penggabungan pelan ini dapat disegerakan dan apa yang lebih penting adalah pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik dan betul,” ujarnya yang juga Ahli  Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Datuk Keramat.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);