KKM badan berkuasa penuh dalam isu vape – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil jalan tengah serta tidak bercadang untuk mengharamkan vape, seperti dilaksanakan sesetengah negeri lain.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin bagaimanapun berkata, pengusaha dan pengguna vape perlu mematuhi kawasan larangan merokok yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan mengambil ‘jalan tengah’ dalam menangani isu berkenaan vape, kita (Kerajaan Negeri) juga masih dalam proses formulasi untuk membuat dasar.

“Di Pulau Pinang, kita ada Kempen Penang Bebas Asap Rokok (PENBAR).

“Melalui PENBAR, ianya tertakluk juga kepada pengguna vape bahawa kawasan-kawasan diwartakan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sebagai lokasi larangan merokok adalah kekal, termasuk di kawasan George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO”, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Forum Perbincangan ‘Input’ Vape, anjuran bersama Persatuan Pengusaha Vape dan Alternatif Tembakau (MEVTA) dan Persatuan Pengusaha Vape Pulau Pinang (PPVPP) di sini.

Lagipun, Afif memberitahu, KKM sendiri masih belum memberi pendirian yang muktamad berhubung isu berbangkit tersebut.

“Di sebalik keputusan Kerajaan Negeri ini, kita harus ingat bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih lagi sebagai sebuah badan yang berkuasa penuh dalam isu ini,” jelasnya.

Pun begitu, menurut Afif, Ketua Menteri sendiri pada 5 Januari lalu turun padang untuk mendengar serta saling berbincang dengan pihakpihak terbabit di Komtar, di sini.}