Cadangan jajaran PIL1 masih belum muktamad, setiap maklum balas awam bakal dipertimbangkan – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Penang Island Link 1 (PIL1) yang masih dalam pameran awam sehingga 10 Ogos ini adalah cadangan peringkat asal sebuah jajaran pintasan lebuh raya sahaja, dan masih memerlukan maklum balas lanjut daripada rakyat terbanyak.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, tempoh untuk orang awam memberi komentar ataupun ulasan bertulis terhadap laporan itu dilanjutkan sehingga 7 September ini.

Tambah beliau, laporan itu masih boleh diakses secara atas talian (internet) seperti biasa, walaupun pameran awam sahaja kekal sehingga 10 Ogos ini.

“Tempoh ini dilanjut sehingga 7 September supaya orang ramai ada cukup masa untuk memberi maklum balas.

“Kita nak tegaskan bahawa apa yang terkandung dalam laporan EIA itu adalah cadangan jajaran dalam peringkat rancangan reka bentuk awalan sahaja, iaitu kita masih belum memperhalusi reka bentuk cadangan (sedia ada) secara muktamad,” jelasnya dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada petang 7 Ogos 2018.

Seperti dijanjikan, Kon Yeow membuat rumusan secara terperinci mengenai struktur dan lot tanah yang bakal terlibat, ketika kerja-kerja pemajuan PIL1 ini diteruskan kelak.

Menurutnya, sebanyak 226 struktur binaan iaitu 62 unit kediaman, lot komersial (30), binaan berkaitan agama (4), struktur kecil (48) dan rumah setinggan (82) akan terlibat dalam projek PIL1 ini. Rujuk lampiran.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow memberitahu pentadbriannya dalam projek PIL1 wajar mendapatkan maklum balas 1.6 juta rakyat terutama rakyat yang menghadapi cabaran trafik sesak di Pulau Pinang saban hari, bukan hanya desakan-desakan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu sahaja yang dingin terhadap rancangan pemajuan projek pintasan lebuh raya tersebut.

Difahamkan, panjang keseluruhan PIL1 adalah 19.5 kilometer (km) termasuk empat bahagian terowong menembusi bukit-bukau di Bukit Bendera sepanjang 10.1km, dengan cadangan reka bentuk enam persimpangan demi menangani masalah trafik sesak di bahagian pulau.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : ALVIE CHENG