Cadangan laluan basikal diperluas ke Seberang

KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng (kanan) bersama Maimunah Mohd. Shariff (kiri) menunjukkan pelan cadangan laluan basikal bagi daerah Seberang Perai.
KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng (kanan) bersama Maimunah Mohd. Shariff (kiri)  menunjukkan pelan cadangan laluan basikal bagi daerah Seberang Perai.

SEBERANG PERAI – Cadangan laluan berbasikal di Seberang Perai adalah untuk menyediakan satu lagi kemudahan pengangkutan sebagai alternatif kepada pengangkutan awam sedia ada. Ia adalah selari dengan dasar Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSNPP) yang telah diwartakan pada 28 Jun 2007 iaitu DSU12 : Mewujudkan satu rangkaian perhubungan negeri dan wilayah yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan tahap kemudahsampaian.

Di bawah Langkah DSU 12 L6 : Menyediakan ruang yang lebih luas bagi pejalan kaki dan lorong basikal atau beca di kawasan pusat bandar, pusat-pusat penempatan utama dan pusat sivik atau tumpuan penduduk; dan menjadikan ruang-ruang pejalan kaki dan basikal atau beca ini sebagai sebahagian daripada jaringan sistem pengangkutan negeri.

Cadangan laluan basikal ini adalah sepanjang lebih kurang 140 kilometer (km). Namun, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan persetujuan Kerajaan Negeri bercadang untuk menyambung laluan tersebut ke Sungai Petani dan Kulim bagi menghubungkan kedua-dua negeri di mana panjang keseluruhan kira-kira 200 km.

Menurut Yang DiPertua MPSP, Maimunah Mohd. Shariff, cadangan laluan basikal di Seberang Perai akan terbahagi kepada tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Salah satu tujuan utama mewujudkan laluan basikal ini adalah bagi mempromosikan pemandangan indah dan
menunjukkan kepelbagaian keistimewaan yang terdapat di Pulau Pinang,” ujarnya ketika ditemui di sidang media yang diadakan di pejabat MPSP, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan membuka peluang kepada orang ramai untuk memberi pendapat dan pandangan mengenai laluan basikal yang dikemukakan oleh MPSP sehingga hujung bulan Januari tahun hadapan.

Setiap pendapat boleh dikemukakan di laman web MPSP dan pejabat daerah berhampiran.