Cadangan pelan pengangkutan alternatif NGO tidak selesai isu pengangkutan awam – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pelan pengangkutan alternatif dicadangkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Penang Forum bagi mewujudkan rangkaian pengangkutan lebih baik, lebih murah serta lebih cepat menggunakan Transit Bas Rapid (BRT) dan trem sebagai medium pengangkutan awam utama tidak akan menyelesaikan isu berkaitan pengangkutan awam.

“Pelan pengangkutan alternatif yang dicadangkan Penang Forum hanya akan memenuhi 40 peratus mod pengangkutan awam, manakala baki 60 peratus lagi iaitu membabitkan kereta persendirian masih ‘terperangkap’.

“Malah, penggunaan trem seperti yang dicadangkan hanya akan meningkatkan kesesakan di waktu puncak, kerana jalan-jalan di Pulau Pinang tidak cukup luas untuk membolehkan perkongsian laluan antara trem, kenderaan persendirian dan pejalan kaki.

“Jika untuk pelancong, mungkin penggunaan trem lebih praktikal, tetapi sebagai transit, ia bukanlah suatu penyelesaian kesesakan hakiki.

“Lagipun, moto PIP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang) adalah ‘Moving People, Not Cars’ (Menggerakkan Manusia, Bukan Kereta),” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Projek dari SRS Consortium, Szeto Wai Loong, Pengurus Projek (SRS Consortium), Poh Chin Ching dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, K. Vishantini.

Dalam pada itu, Wai Loong menegaskan bahawa pelan pengangkutan alternatif berkaitan tidak termasuk rencana pembiayaan dana.

“Kos pembinaan trem bukan murah jika dibandingkan dengan LRT (aliran transit ringan) kerana laluan khusus (dedicated lanes), jadi apabila tambahan ruang diwujudkan, maka kos pembinaan juga perlu ditambah.

“Sebagai contoh trem di Edinburgh, Scotland, pelan asal pembinaan adalah sejauh 18.5 kilometer (km), tetapi hanya mampu disiapkan sejauh 14 km kerana kekurangan dana.

“Penggunaan LRT pula sebaliknya, kerana kita (SRS Consortium) mencadangkan penggunaan landasan yang ditinggikan, jadi tidak perlu laluan tambahan,” jelasnya.

Tambah Wai Loong, kos sebenar PIP Pulau Pinang hanya akan diketahui apabila urusan tender selesai.

“Cadangan asal, kos adalah RM27 bilion mengikut cadangan kajian Halcrow, tetapi kami (SRS Consortium) menganggarkan jumlah tersebut akan meningkat sehingga RM46 bilion kerana terdapat komponan tambahan untuk pelaksanaan di Seberang Perai,” katanya.

Dalam masa sama, Wai Loong turut menegaskan bahawa tanah yang ditambak di selatan Pulau Pinang akan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan hasil daripada penjualan tanah iaitu melalui lelongan awam, akan digunakan untuk membiayai PIP.

“Kawasan yang ditambak itu kelak akan menjadi pemacu ekonomi negeri sekaligus melengkapkan rangkaian pengangkutan yang bersepadu,” ujarnya.

Terdahulu, Penang Forum mendakwa bahawa kos pelaksanaan PIP terlalu tinggi dan tidak bersepadu.

Turut ditekankan adalah rakyat Pulau Pinang tidak memerlukan lebih banyak lebuh raya, sebaliknya memperkenalkan sistem laluan trem dilengkapi BRT bagi mengurangkan penggunaan kereta di jalan raya.

Maklumat lanjut, layari http:// pgmasterplan.penang.gov.my/.