Rayer bebas tuduhan menghasut

GEORGE TOWN – Mahkamah Sesyen George Town sekali lagi membebaskan dan melepaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer daripada tuduhan menghasut kerana melafazkan perkataan ‘celaka’ terhadap sebuah parti politik pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, 20 Mei 2014.

Menurut Hakim Ibrahim Osman, lafaz Rayer adalah dalam forum yang betul, dengan merujuk pada elemen keamanan dan keharmonian sebagaimana dibangkitkan dalam ucapan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Katanya, mahkamah tidak dapat menerima penghujahan pihak pendakwaan bahawa sebuah parti membawa maksud sesuatu kaum, dan perlu menerima hakikat bahawa ia dilihat sebagai suatu entiti politik.

“Saya tidak yakin dan tidak percaya tertuduh (Rayer) mempunyai kecederungan menghasut,” kata Ibrahim di kamar Mahkamah Sesyen 2 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, Rayer dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara lima tahun dan denda RM5,000, jika sabit kesalahan. Pihak pembelaan diketuai oleh Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong serta Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Manakala pihak pendakwaan diwakili, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Saw Sim dan Farah Aimy Zainul Anwar.

Pada 29 April lalu, Rayer turut dibebaskan dan dilepaskan daripada satu tuduhan menghasut ekoran melafazkan ungkapan sama ketika berceramah di perkarangan Island Glade pada 20 Mei 2014.