CAFEO sedia platform perkongsian kejuruteraan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

BAYAN LEPAS – Selama 33 tahun, persidangan berprestij Pertubuhan Persekutuan Kejuruteraan ASEAN atau Conference of the Asean Federation of Engineering Organisations, CAFEO menjadi platform holistik perkongsian kepakaran, pandangan dan pengalaman dalam kalangan jurutera.

Malah, usaha untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi mobiliti komuniti kejuruteraan turut merentasi sempadan yang mana ia dijangka membawa manfaat secara langsung kepada negara-negara anggota dalam rantau Asia Tenggara.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, bidang kejuruteraan merupakan pemacu utama bagi sebahagian besar ekonomi di Pulau Pinang, terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat telah membuktikan bahawa rekod prestasi bidang kejuruteraan yang baik menyumbang secara langsung kepada pembangunan serta kelestarian negara.

“Lebih 95 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang adalah dari sektor pembuatan serta perkhidmatan, sehinggakan kita (negeri) dilabelkan sebagai ‘Silicon Valley of Malaysia’.

“Pendekatan tersebut pastinya sesuatu yang membanggakan kerana ia secara langsung membuktikan bahawa kejuruteraan merupakan bidang yang mampu menjadi penanda aras piawaian pembangunan sesebuah negeri,” ucapnya pada CAFEO ke- 33 di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Persekutuan Kejuruteraan ASEAN (AFEO), Datuk Lim Chow Hock dan delegasi-delegasi AFEO daripada 10 negara Asean. Menurut Guan Eng, setiap negara dalam komuniti ASEAN mempunyai kekuatan dan sumber tersendiri, apabila digabungkan, ia akan mewujudkan sinergi pengukuhan sosioekonomi yang lebih tinggi.

“Kerajaan Negeri yakin bahawa pengukuhan bidang kejuruteraan mampu mentransformasikan Pulau Pinang ke arah sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar sekaligus membuktikan komitmen kita (Kerajaan Negeri) untuk terus berinovasi dalam menempuh cabaran masa hadapan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Chow Hock memberitahu bahawa persidangan tahunan tersebut bukan sahaja mencetuskan impak positif terhadap perkembangan teknologi dan kejuruteraan, tetapi juga menjadi penyumbang kepada pertumbuhan serta pembangunan rantau Asean.

“Kita (AFEO) akan memastikan persidangan tahunan ini dapat diteruskan pada masa-masa hadapan memandangkan negara kini sedang menuju ke arah negara maju,” jelasnya.

Bertemakan ‘From Lights to Bytes: Asean Engineering Evolution and Future Challenges’, majlis perasmian persidangan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

}