Persembahan orkestra rai persahabatan Yala & P. Pinang

Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Walaupun hujan lebat, penonton yang hadir menyaksikan persembahan orkestra daripada kumpulan Yala City Municipality Youth Orchestra (YMO), Thailand tetap tidak berganjak.

Persembahan bertemakan ‘Raikan Persahabatan Melalui Muzik’ tersebut berlangsung selama 100 minit dengan pelbagai genre lagu dipersembahkan.

Menurut Pengerusi Acara, Datin Seri Irene Yeap, persembahan orkestra berkenaan merupakan suatu penghormatan dalam meraikan jalinan persahabatan antara daerah Yala dan Pulau Pinang.

“Kehadiran YMO ke Pulau Pinang bukanlah kali pertama, sebelum inipun mereka pernah mengadakan persembahan di sini saban tahun dengan membawa konsep kepelbagaian budaya serta keharmonian muzik,” katanya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Dato’ Ng Wee Kok.

Dalam pada itu, Konsul Jeneral Thailand ke Pulau Pinang, Ekajit Kraivichien memberitahu bahawa persembahan orkestra yang dipersembahkan adalah bertujuan merai serta merapatkan lagi hubungan antara Pulau Pinang dan Thailand.

“Saya percaya bahawa jalinan persahabatan antara Pulau Pinang dan Thailand akan terus mekar dan berkembang menerusi interaksi kebudayaan serta muzik antara kedua-duanya,’’ ujar beliau.

Persembahan orkestra percuma berkaitan dianjurkan bersama Penang Philharmonic Orchestra (PPO) dan Pejabat Konsulat Thailand dengan kerjasama PHC selaku penaja lokasi.

Seramai 150 pemuzik dan penyanyi mengambil bahagian termasuk penyanyi jemputan, Profesor Madya Razif Mohd. dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendendangkan dua lagu klasik iaitu ‘Getaran Jiwa’ dan ‘Putera Puteri’.

Selain di Bukit Bendera, YMO turut mengadakan persembahan di SP Arena, Seberang Jaya dan di Dewan Sri Pinang di sini.