Capai Dasar Agromakanan Negara bangunkan sektor agromakanan mampan

CHOW Kon Yeow berucap dalam Majlis Perasmian Agro Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kampung Sama Gagah dekat Permatang Pasir di sini pada 9 Ogos 2023.

PERMATANG PASIR – Bagi tahun 2023, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan peruntukan sebanyak RM21,657,195 bagi pelaksanaan program pembangunan sama ada pertanian secara fizikal, pembangunan modal insan serta bantuan khas di negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya menerusi Bajet 2023 menyalurkan sejumlah RM17,355,000 peruntukan pembangunan sektor agromakanan negeri dalam bentuk bantuan infrastruktur berkaitan.

CHOW Kon Yeow

Kata Calon Perpaduan bagi N.26 Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota itu lagi, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian memperuntukkan RM6.9 juta untuk insentif berkaitan sektor tanaman makanan; bantuan pesawah RM500 seorang berjumlah RM2.46 juta; RM3.72 juta melalui Jabatan Veterinar Negeri untuk sektor penternakan; RM2.65 juta projek pembangunan kebun kerang dan RM1.61 juta bantuan pukat kepada nelayan melalui Jabatan Perikanan Negeri.

“Kerajaan Negeri berharap dengan saluran bantuan secara berterusan, ditambah dengan dana dan sokongan daripada agensi kerajaan dan swasta, kita mampu mencapai visi sebagaimana yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0) untuk membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan serta berteknologi tinggi dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan juga negara,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Lot Kelompok Padi dekat Kampung Sama Gagah di sini pada 9 Ogos 2023.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Nor Sam Alwi turut hadir mewakili Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim yang juga Pengerusi KPKM Inc. Negeri Pulau Pinang; calon Perpaduan N.11 DUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri yang lain.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri dan Pusat hari ini menyedari isu berwajib peringkat domestik dan global seperti inflasi dan rencatan bekalan dunia yang didepani oleh rakyat dalam sektor agromakanan di Pulau Pinang.

“(Oleh itu,) Kerajaan komited dan meletakkan perhatian yang serius kepada pemerkasaan sektor agromakanan agar dapat kembali pulih, sekali gus memelihara kesejahteraan serta kebajikan rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang mengaku bahawa beliau tiada maklumat konon-konon bekas Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy akan mengumumkan untuk keluar parti bagi memberi sokongan secara langsung kepada P. David Marshell yang akan bertanding atas tiket Bebas di N.16 DUN Perai.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkata bahawa mustahil Kerajaan Persekutuan akan berpindah tangan kepada Perikatan Nasional sekiranya jentera Perpaduan tewas di kebanyakan kerusi sempena enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS