GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju agenda pendigitalan negara apabila dinobatkan sebagai Johan Anugerah Prestasi Penggunaan Pembayaran Digital Cemerlang bagi Program Kempen Cashless Boleh 5.0 pada peringkat kebangsaan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda pendigitalan serta membudayakan penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam penyampaian perkhidmatan awam.
“Program Kempen Cashless Boleh 5.0 melibatkan enam kategori penyertaan pada peringkat kebangsaan dan bagi kategori Kerajaan Negeri, Pulau Pinang berjaya mencatatkan prestasi terbaik dengan kadar transaksi pembayaran tanpa tunai sebanyak 99.40 peratus.
“Pencapaian ini membolehkan Pulau Pinang mengatasi negeri-negeri lain seperti Kedah, Selangor dan Melaka, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM50,000 berserta piala dan sijil kejuaraan,” katanya pada sidang media di Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata bahawa kejayaan tersebut turut menyaksikan Pulau Pinang mengekalkan kecemerlangan untuk dua tahun berturut-turut selepas sebelum ini muncul juara Anugerah Utama Kategori D: Prestasi Penggunaan Pembayaran Digital Cemerlang dalam Kempen Cashless Boleh 4.0 bagi tahun 2024 dengan kadar penggunaan transaksi tanpa tunai melebihi 95 peratus.
Menurut beliau, antara inisiatif yang menyumbang kepada kejayaan itu ialah pelaksanaan Kempen Cashless pada peringkat negeri yang melibatkan penyertaan 24 jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.
Katanya, Kerajaan Negeri turut melaksanakan kajian kepuasan pengguna secara berterusan bagi mendapatkan maklum balas serta menambah baik pengalaman rakyat menggunakan kemudahan pembayaran digital.
“Usaha memperluaskan penggunaan pembayaran tanpa tunai turut diperkasakan menerusi pelbagai hebahan dan promosi, termasuk pemasangan bahan promosi di pejabat kerajaan serta penggunaan laman sesawang, media sosial dan platform digital jabatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kemudahan, keselamatan dan manfaat pembayaran digital,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) yang menerajui penyertaan Kerajaan Negeri sepanjang pelaksanaan Program Kempen Cashless Boleh 5.0.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang memberikan komitmen penuh, selain menghargai sokongan Kementerian Kewangan (MoF) dan Payments Network Malaysia (PayNet) yang menjadi rakan strategik sepanjang pelaksanaan program tersebut.
“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang menjadikan pembayaran digital sebagai amalan dalam urusan harian.
“Saya yakin dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, Pulau Pinang akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri peneraju dalam agenda pendigitalan serta menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS