GEORGE TOWN – Kemenangan pertama Penang FC dalam saingan MFL Liga Super 2026/2027 berlangsung dalam aksi dramatik apabila membenam cabaran Kelantan Red Warrior 3-2 di Stadium Bandaraya petang tadi.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri 2-2, tandukan kapten pasukan Stefano Brundo pada masa tambahan menobatkan Penang FC sebagai pemenang dalam perlawanan keempat liga musim ini.
Dua lagi gol Penang FC sebelum itu dijaringkan oleh pemain penyerang, Jarvey Gayoso, minit keempat sebelum Enzo Calestine menyumbat gol kedua minit ke-52.

Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail ketika sidang media memberitahu pasukannya sepatutnya mampu memenangi perlawanan tersebut dengan lebih mudah.
“Bukan tidak bersyukur dengan kemenangan ini, tetapi beberapa kesilapan mudah telah menyebabkan Penang FC berdepan tekanan sehingga ke minit terakhir sebelum berjaya mendapatkan jaringan kemenangan.
“Secara keseluruhan dari segi keputusan, Alhamdulillah, tetapi perlawanan tadi sepatutnya kita menang dengan cara yang lebih mudah.
“Kesilapan individu menyebabkan kita bersusah payah sehingga minit terakhir untuk mendapatkan jaringan, dua gol pihak lawan juga berpunca daripada kesilapan yang bagi saya sangat mudah,” ujarnya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.
Tambahnya, para pemain juga perlu mengawal emosi dan tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan kemenangan pertama sehingga menyebabkan mereka terburu-buru dalam menyudahkan peluang.

“Mereka perlu sedikit tenang, saya tahu kita mengejar kemenangan pertama, tetapi apabila terlalu ghairah untuk menyudahkan peluang, kesilapan akan berlaku.
“Saya harap kemenangan ini dapat meredakan sedikit tekanan dan keghairahan untuk mendapatkan kemenangan,” jelasnya lagi.
Mengulas aspek yang perlu diperbaiki, Wan Rohaimi mahu kesemua bahagian dalam pasukan memperbaiki kelemahan.
“Bagi saya, semua bahagian masih ada ruang untuk tambah baik. Midfield, pertahanan dan striker, masing-masing masih ada ruang untuk diperbaiki.
“Saya masih jauh daripada apa yang saya mahukan dan apa yang mereka pernah tunjukkan sebelum ini.
“Saya sangat dahagakan dan rindu untuk melihat semula aksi seperti ketika siri perlawanan persahabatan di Thailand dan Surabaya, yang mana mereka bermain dengan lebih baik,” katanya.
Gambar: PENANG FC