CCTV ‘Watch You’ pantau kawasan hotspot pembuangan sampah haram di Nibong Tebal

Admin
img 20260206 wa0100

JAWI – Dua lokasi hotspot pembuangan sampah secara haram di sekitar Nibong Tebal kini dipantau melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar dikenali sebagai CCTV Watch You milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata dua kawasan terbabit adalah melibatkan tong sampah RORO di kawasan Bukit Panchor dan Kampung Sanglang dekat sini.

Menurutnya, langkah tegas itu diambil susulan aduan dibuat oleh penduduk setempat berhubung aktiviti pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab, khususnya melibatkan sisa daripada sektor industri dan swasta.

“Pemilihan kedua-dua lokasi itu dibuat selepas mendapati kawasan berkenaan sering dijadikan tempat pelupusan sampah secara haram oleh pihak tertentu yang sepatutnya melupuskan sisa mereka di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

“Susulan itu, Ahli Majlis bagi MBSP telah memohon supaya CCTV Watch You dipasang di kawasan ini kerana dikenal pasti sebagai hotspot pembuangan sampah haram,” katanya pada sidang media dekat Kampung Sanglang di sini pagi tadi.

img 20260206 wa0089
CCTV Watch You yang dipasang di tempat pembuangan sampah berhampiran Kampung Sanglang.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP, Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai serta pegawai-pegawai MBSP.

Mooi Lye berkata, CCTV Watch You dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta sistem Automatic Number Plate Recognition (ANPR) yang mampu merakam dan mengenal pasti nombor plat kenderaan yang membuang sampah di kawasan berkenaan.

Katanya, maklumat nombor plat tersebut kemudiannya akan disemak melalui sistem yang dihubungkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenal pasti pemilik dan pemandu kenderaan sebelum siasatan serta tindakan saman diambil.

Beliau menegaskan bahawa MBSP tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terus melakukan kesalahan selepas pelancaran sistem tersebut.

“Setakat ini belum ada kompaun dikeluarkan, namun selepas sidang media ini, saya akan minta MBSP menjalankan penguatkuasaan sepenuhnya berdasarkan rakaman CCTV Watch You,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

img 20260206 wa0102img 20260206 wa0097img 20260206 wa0105

Tambah beliau, tong sampah jenis RORO yang disediakan berhampiran Kampung Sanglang di sini adalah bagi kegunaan penduduk setempat melupuskan sampah harian, khususnya di kawasan yang tidak dapat dimasuki lori sampah milik MBSP.

“Tong RORO ini adalah untuk kegunaan penduduk Kampung Sanglang A, Sanglang B dan kawasan berhampiran sahaja, bukan untuk kegunaan komersial.

“Namun, kemudahan itu telah disalah guna oleh pihak komersial dan industri untuk melupuskan sampah mereka,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pemasangan CCTV Watch You akan membawa perubahan positif, sekali gus membuka ruang perbincangan bersama Ahli Majlis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sanglang untuk memulihkan kawasan berkenaan, termasuk cadangan menjadikannya sebagai kawasan rekreasi atau taman komuniti pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan bahawa bermula 1 Julai ini, Pulau Pinang akan menguatkuasakan hukuman khidmat masyarakat terhadap pesalah yang membuang sampah secara haram mengikut akta dan seksyen sedia ada.

Beliau juga mengeluarkan amaran keras kepada kontraktor dan syarikat pengurusan sisa, sambil menegaskan bahawa pihak kontraktor sebenarnya boleh memohon permit bagi melupuskan sampah di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

“Jika kita kesan mana-mana lori industri melupuskan sampah di kawasan tidak dibenarkan, saya akan minta MBSP menarik balik lesen permit mereka, bukan untuk satu lori, tetapi keseluruhan syarikat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa MBSP tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil jalan mudah demi menjimatkan kos dengan membuang sampah di tempat awam.

“Saya harap orang awam dan semua pihak ambil perhatian serta bertanggungjawab terhadap sampah masing-masing.

“Saya tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS