Ceburi keusahawanan flora, seru Rashid

BERTAM – Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyeru supaya para penduduk mengambil peluang menjalankan keusahawanan flora ekoran keadaan ekonomi dan nilai mata wang yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perasmian Penutupan Karnival Usahawan Flora (Orkid) Kali Ke-2 di Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Rashid, tumbuhan hiasan yang dipamerkan bersempena penganjuran tersebut bukan hanya diminati oleh golongan wanita sahaja.

“Sebaliknya, orkid yang merupakan tumbuhan menarik mempunyai peminatnya tersendiri tanpa mengira jantina, umur dan keturunan.

“Justeru, usahawan orkid tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pelanggan di manamana sahaja,” ujarnya.

Turut hadir, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Zaini Awang dan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad.

Lebih daripada 3,000 jenis orkid dipamerkan pada penganjuran karnival yang berlangsung selama 10 hari berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Rashid memberitahu, keusahawanan flora umumnya dapat membuka peluang pekerjaan baru seperti di Jabatan Taman Botani, yang mana terdapat pengambilan pekerja-pekerja untuk menyemai dan menjaga tumbuhan di lokasi berkaitan.