Cendawan tiram kelabu, cabaran banyak namun puas tengok hasil – Noordin

NOORDIN Bakar.
NOORDIN Bakar.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

TIDAK mudah untuk ‘menghasilkan’ cendawan tiram kelabu.

Ia merupakan tumbuhan yang manja, sensitif dan memerlukan modal tinggi untuk diusahakan.

Itulah ungkapan diluahkan Noordin Bakar, 51, yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga serta ‘mengusahakan’ tanaman cendawan tiram kelabu di Ibu Pejabat Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang sejak dua tahun lalu.

Ketika Skuad Jalan-jalan mengadakan lawatan ke tapak semaian cendawan tiram kelabu di bawah jagaannya, beliau sedang sibuk membuat bongkah berisi habuk kayu sebagai ‘perumah’ bagi benih-benih fungus berkaitan.

Katanya, tempat semaian ini adalah untuk tujuan kursus, praktikal dan juga bagi membolehkan pihak (Jabatan) Pertanian menjalankan kajian serta penyelidikan terhadap tanaman cendawan tiram kelabu.

Sebelum saya ditukarkan ke bahagian penjagaan tanaman (nursery), saya bertugas di bahagian pengurusan di ibu pejabat.

Di sini, terpaksalah saya belajar dari asas iaitu bermula dengan proses membuat bongkah hinggalah penjagaan cendawan dan menuai ia.

Banyak cabaran dalam penanaman cendawan ni, ianya rumit, termasuklah dari proses membuat bongkah dan seterusnya,” jelas beliau yang turut melabelkan bahawa cendawan tiram kelabu adalah jenis fungus manja, sensitif dan berisiko tinggi sebab terlalu mudah untuk terdedah kepada perosak serta virus.

RUPA bentuk cendawan tiram kelabu yang tumbuh.
RUPA bentuk cendawan tiram kelabu yang tumbuh.

Mengulas mengenai proses pembuatan bongkah, Noordin yang meminati bidang pertanian sejak kecil menyatakan bahawa bahan asas yang digunakan adalah habuk kayu getah, dedak padi dan kapur pertanian.

Habuk kayu yang boleh digunakan hanyalah habuk kayu getah dan ia perlu betul-betul kering.

Selain itu, campuran bahan-bahan berkaitan perlu ‘dikukus’ dalam ‘mesin mengukus’ khas semalaman bagi tujuan mematikan kuman di dalamnya.

Kebersihan perlu dijaga, termasuk penutup yang digunakan untuk menutup bongkah-bongkah tersebut,” jelasnya.

Setelah bongkah siap, Noordin menyatakan bahawa benih-benih kemudian disuntik ke dalamnya sebelum ia disusun di atas rak untuk diperam.

Dalam tempoh kira-kira sebulan hingga dua bulan, bongkah yang berwarna perang akan bertukar putih menandakan bahawa benih-benih sudah mulai ‘masak’. Cendawan kemudian akan mulai tumbuh pada bahagian penutup bongkah (depan),” jelasnya.

Mengulas lanjut, Noordin yang berasal dari Alor Star, Kedah menyatakan bahawa walaupun proses pembuatan bongkah mengikut ‘pantang-larang’ sedia ada, namun, ia tidak menghalangnya daripada terus rosak walaupun dalam tempoh masa singkat.

Bongkah yang rosak kelihatan seakan-akan berkulat di dalamnya dan apabila situasi ini berlaku, ia tidak boleh lagi digunakan dan perlu dijauhkan dengan yang lain-lain kerana ‘ia’ akan berjangkit.

Malah, terdapat juga bongkah yang ‘berjaya’ pada peringkat awal kemudian rosak selepas pokok-pokok cendawan tumbuh. Apabila ini berlaku, cendawan yang tumbuh akan menjadi layu dan kemudian tidak lagi membesar.

Selain virus penyakit dan keadaan habuk kayu yang tidak cukup kering, bongkah-bongkah yang dibuat dengan harga modal kira-kira RM2 kini juga amat sensitif dengan rokok dan pewangi termasuk minyak wangi.

Oleh sebab itu, bukan sebarangan orang yang dibenarkan masuk ke dalam tapak semaian cendawan,” jelasnya yang turut menjelaskan bahawa teknik penggunaan kapas pada bahagian muncung (penutup) bongkah kini turut digantikan dengan pelekat bagi mengelak serangan haiwan perosak seperti tikus.

BONGKAH-bongkah yang disuntik dengan benih cendawan dan diatur rapi di atas rak bilik semaian.
BONGKAH-bongkah yang disuntik dengan benih cendawan dan diatur rapi di atas rak bilik semaian.

Menurut beliau, permintaan pasaran terhadap cendawan tiram kelabu adalah amat tinggi, namun kini tidak ramai pengusaha ingin mengusahakannya.

Selain modal yang tinggi disebabkan harga bongkah, turut menjadi faktor adalah bekalan habuk kayu getah yang amat terhad.

Malah, suhu bilik tapak semaian juga tidak boleh terlalu panas, ditambah lagi modal untuk membeli ‘mesin mengukus’ serta penjagaan virus dan serangga-serangga perosak seperti lipas, tikus dan kuman,” katanya yang dikurniakan dua cahaya mata.

Bagi Noordin yang sebelum ini pernah bekerja di kilang di Alma dan Perai, bidang pertanian mampu menjana pulangan yang menguntungkan sekiranya seseorang komited serta minat menceburi ia.

Walaupun senarai cabaran perusahaan cendawan tiram kelabu adalah lebih ‘panjang’ berbanding tanaman-tanaman lain, kepuasan melihat cendawan-cendawan tumbuh merupakan kepuasan yang tidak dapat digambarkan.

Memang seronok dan membuatkan saya berasa semua penat lelah hilang begitu sahaja,” ujarnya sambil tersenyum.