Central Muslim Society nyata sokongan Penang2030 dihargai – Kon Yeow

DATUK KERAMAT – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada Central Muslim Society (CMS) atas sokongan yang tidak berbelah-bahagi terhadap Penang2030 iaitu wawasan pembangunan masa depan negeri sehingga 2030 nanti.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis makan malam gabungan persatuan berpusat pada kaum kerabat masyarakat Tamil Muslim Kadayanallur dan Tenkasi di sini pada 29 September 2019.

“Saya berharap dapat melakukan sesuatu kelainan yang lebih baik untuk Pulau Pinang.

“Tetapi saya memerlukan sokongan, bukan sahaja daripada jentera kerajaan, tapi juga daripada masyarakat atau komuniti.

“Kekuatan (sokongan) daripada komuniti adalah kekuatan yang kita perlukan untuk bersama-sama memastikan negeri Pulau Pinang terus maju dan membangun ke hadapan dengan pelbagai pencapaian,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada majlis berkaitan.

Kon Yeow berkata demikian sebagai reaksi kepada ucapan alu-aluan Presiden CMS, Mohd Hasan Othuman yang memberitahu bahawa lebih 500 hadirin yang mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gabungan menyatakan sokongan kepada pelan pembangunan Penang2030.

“Tahniah atas pencapaian dan sumbangan CMS bukan hanya dalam usia pertubuhan selama 68 tahun (sejak ditubuhkan pada 27 Julai 1953), tapi lebih 200 tahun nenek moyang mereka telah menyumbang kepada pembangunan negeri daripada aspek warisan, pendidikan serta perniagaan,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Selain itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada sayap pemuda CMS yang telah mewujudkan Community Digital Academy (CDA).

“Saya difahamkan bahawa pemuda CMS akan mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Penang STEM (Sains, Teknologi, Kejuriteraan dan Matematik) yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy) bagi CMS mengadakan kelas pembelajaran STEM di lima pusat yang telah diwujudkan oleh gabungan CMS khusus kepada anak-anak pada pelbagai peringkat umur dalam komuniti ini,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : ALVIE CHENG