INISIATIF Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) yang dilaksanakan oleh Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang terus memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi risiko banjir menerusi pendekatan pendidikan, latihan praktikal dan kerjasama strategik pelbagai agensi.
Ketua Pusat Pengajian Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pulau Pinang, Ts. Dr. Muhamad Faizal Pakir Mohamed Latiff berkata, CEPA merupakan inisiatif oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bagi memperkukuh kesiapsiagaan komuniti terhadap risiko banjir.
Menurutnya, bagi pelaksanaan di Pulau Pinang, Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pulau Pinang telah dilantik sebagai pelaksana program.

“Program ini dibiayai menerusi geran yang disalurkan oleh JPS kepada Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), sebelum geran berkenaan dianugerahkan kepada Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pulau Pinang.
“Menerusi geran ini, kami dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti pendidikan, libat urus komuniti, kaji selidik dan simulasi berkaitan kesiapsiagaan banjir di negeri ini,” dalam wawancara khas bersama Buletin Mutiara di Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Pulau Pinang pada 27 Julai 2026.
Turut sertai wawancara tersebut ialah tiga lagi Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pulau Pinang, Ts. Dr. Mohd. Samsudin Abdul Hamid; Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Pulau Pinang, Dr. Nor Azliza Akbar dan Dr. Salina Alias.
Beliau berkata, objektif utama program tersebut adalah untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat terhadap risiko banjir, di samping memastikan komuniti memahami cara menerima, mentafsir dan bertindak apabila amaran banjir dikeluarkan.
Tambahnya, skop CEPA melibatkan empat lembangan utama di Pulau Pinang iaitu Sungai Pinang, Sungai Perai, Sungai Juru dan Sungai Jawi yang merangkumi Daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah serta Seberang Perai Selatan.
“Kawasan kajian dipilih berdasarkan risiko dan sejarah kejadian banjir, lokasi stesen siren bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB), taburan penduduk serta keperluan menilai tahap kefahaman komuniti yang tinggal berhampiran sistem amaran.
“Bagi setiap lembangan, kami melibatkan sebuah sekolah dan sebuah komuniti sebagai kumpulan sasaran utama.
“Kami turut menjalankan kaji selidik serta kempen melalui reruai dalam acara-acara besar untuk mendekati masyarakat yang lebih luas,” katanya
Beliau menjelaskan, pendekatan berkenaan membolehkan program tersebut mencapai pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, keluarga, penduduk di kawasan berisiko serta orang awam.
“CEPA Pulau Pinang bukan program untuk satu lembangan sahaja, sebaliknya merupakan usaha pendidikan dan kesiapsiagaan yang merangkumi kawasan terpilih di seluruh negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhamad Faizal berkata, program tersebut membentuk rantaian tindakan yang jelas bermula daripada menerima amaran, memahami maksud amaran, mengesahkan maklumat melalui saluran rasmi sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, antara kekuatan utama CEPA ialah penggunaan pelbagai pendekatan seperti pendidikan di sekolah, libat urus komuniti, kaji selidik, kempen reruai dan kerjasama erat dengan agensi pengurusan bencana.
Di sekolah, pelajar didedahkan mengenai risiko banjir, fungsi PRAB, siren amaran, sumber maklumat rasmi serta langkah keselamatan, selain digalakkan menjadi penyampai maklumat kepada ahli keluarga masing-masing.
Bagi program komuniti pula, penekanan diberikan kepada tindakan praktikal termasuk mengenal pasti saluran amaran, menyediakan pelan tindakan keluarga, mengetahui lokasi selamat serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Kaji selidik membantu mengenal pasti jurang sebenar yang mana seseorang mungkin pernah mengalami banjir, tetapi belum tentu mengetahui fungsi siren, platform rasmi atau tindakan yang perlu diambil apabila amaran diterima.
“Nilai sebenar amaran awal terletak pada tindakan yang berlaku selepas amaran itu diterima,” katanya.
Beliau berkata, PRAB dibangunkan berasaskan penggunaan data dan teknologi yang melibatkan pemantauan hujan serta aras air, penghantaran data melalui stesen telemetri, pemodelan hidrologi dan hidraulik sebelum amaran disampaikan kepada agensi serta orang ramai.
Menurutnya, sistem tersebut menyasarkan keupayaan meramal banjir monsun sehingga tujuh hari lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca, meningkatkan tempoh hebahan amaran daripada enam jam kepada dua hari serta menyediakan ramalan banjir kilat dalam tempoh satu hingga tiga jam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sasaran tersebut merupakan keupayaan sistem dan bukannya jaminan bagi setiap kejadian memandangkan perubahan iklim boleh menghasilkan hujan berintensiti tinggi dalam tempoh singkat dan bersifat setempat.
“Teknologi memberikan masa dan maklumat; kesiapsiagaan menentukan bagaimana masa itu digunakan,” katanya.
Sementara itu, Ts. Dr. Mohd. Samsudin Abdul Hamid berkata, pihaknya akan menganjurkan Program Simulasi dan Dialog Awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat bagi Daerah Timur Laut yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos.

Katanya, sesi tersebut bakal menjadi platform penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan komuniti menghadapi bencana banjir.
Program anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama pasukan penyelidik dengan sokongan JPS Negeri Pulau Pinang, NAHRIM, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) serta beberapa agensi berkaitan itu menyasarkan penyertaan kira-kira 60 penduduk dari Kampung Dodol, Kampung Makam dan Kampung Masjid.
“Program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pengurusan bencana, malah membantu komuniti mengenal pasti sumber tempatan dan golongan yang memerlukan keutamaan ketika berlaku banjir.
“Antara aktiviti utama ialah pemetaan komuniti yang merangkumi sumber makanan setempat, laluan selamat dan berisiko, lokasi kemudahan awam serta mengenal pasti golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung dan kanak-kanak bagi memudahkan operasi menyelamat,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai reruai pameran turut disediakan oleh agensi berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JPS bagi memperkenalkan teknologi pengurusan banjir, aplikasi MyPublicInfo Banjir serta prosedur bantuan kepada mangsa bencana.
“Sesi dialog awam ini akan memberi peluang kepada penduduk berinteraksi secara langsung dengan wakil agensi berkaitan bagi membincangkan isu banjir dan sistem perparitan di kawasan masing-masing,” jelasnya.
Mohd. Samsudin berkata, pelaksanaan CEPA menyasarkan capaian kira-kira 100,000 rakyat Pulau Pinang menerusi pelbagai program kesedaran yang memberi penekanan kepada penggunaan aplikasi MyPublicInfo Banjir, pemantauan paras sungai, penyediaan kit kecemasan keluarga, pelan pemindahan, penyimpanan dokumen penting dan kefahaman terhadap fungsi siren amaran banjir.
Dalam perkembangan sama, Dr. Nor Azliza Akbar berkata, keberkesanan program CEPA diukur menerusi kaji selidik sebelum dan selepas program di setiap kawasan lembangan yang terlibat.

Menurut beliau, kaji selidik praprogram dilaksanakan melalui kunjungan dari rumah ke rumah bagi mendapatkan data asas berkaitan tahap pengetahuan dan kesiapsiagaan penduduk sebelum soal selidik yang sama digunakan semula selepas program bagi menilai perubahan yang berlaku.
“Berdasarkan dapatan awal, purata skor tahap kesedaran dan pengetahuan peserta meningkat daripada sekitar tahap dua hingga tiga kepada tahap empat hingga lima di kebanyakan kawasan.
“Sesi dialog awam turut membantu menjelaskan pelbagai kekeliruan yang dibangkitkan penduduk, sekali gus meningkatkan pemahaman komuniti mengenai pengurusan risiko banjir,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya CEPA menggabungkan pelbagai pendekatan merangkumi program di sekolah, gerai pameran, simulasi komuniti, pendidikan dan latihan praktikal bagi meningkatkan kesedaran serta membekalkan masyarakat dengan pengetahuan yang diperlukan untuk bertindak lebih awal dan lebih selamat ketika menghadapi bencana banjir.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD