Ceroboh DUN – tindakan & hukuman lebih keras

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu tindakan keras dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap sekumpulan lelaki yang bertindak menceroboh ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini 21 Mei lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tindakan dan hukuman lebih keras perlu diambil sebagai pengajaran dan bagi memastikan bahawa pihak lain tidak terlintas untuk berbuat sedemikian.

“Kami mahu tindakan dan hukuman keras diambil ke atas mereka yang menceroboh masuk DUN Pulau Pinang.

“Ini supaya tindakan yang diambil tidak akan dilupa bukan sahaja oleh mereka (kumpulan berkenaan), tetapi oleh pihak-pihak lain. Agar tidak akan terlintas pun dalam fikiran untuk mencerobohi DUN Pulau Pinang sekali lagi,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Pada 21 Mei lalu, sekumpulan lelaki bertindak merempuh pagar utama DUN Pulau Pinang sehingga menceroboh ke dalam dewan persidangan.

Ekoran kejadian tersebut, Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang telah mengeluarkan kenyataan menyatakan kekecewaannya ke atas insiden pecah masuk ke dalam Dewan yang mulia berkenaan.

Katanya lagi, perkara tersebut tidak pernah berlaku sepanjang sejarah DUN di negeri ini, bahkan mencemar sejarah politik di peringkat negara.

Bagi Choo Kiang, beliau melihat masih ada ruang yang lebih beradab untuk menyatakan ketidakpuasan isu daripada melakukan tindakan yang kasar dengan merempuh pagar utama DUN dan mencemar kemuliaan Dewan, yang jelas melanggar undang-undang negara ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri berasa sangat sedih dan kecewa dengan kejadian tersebut dan pada masa sama mahu tindakan dan hukuman keras diambil ekoran ia merupakan satu perbuatan yang sungguh tidak bertanggungjawab.

“Saya rasa ini mencemarkan kesucian dan juga kedaulatan DUN Pulau Pinang sebagai institusi tertinggi dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang jelas menunjukkan bahawa kedudukan DUN ini tidak boleh dipertikaikan.

“Oleh sebab itu, kita (Kerajaan Negeri) minta bukan sahaja seksyenseksyen yang disiasat oleh pihak polis, tetapi kita (Kerajaan Negeri) mahu siasatan di bawah seksyen yang lebih keras lagi,’’ tegasnya.

Beliau memberitahu, siasatan polis yang dijalankan mengikut Seksyen 146 dan 147 Kanun Keseksaan adalah tidak memadai kerana ia hanya memperuntukkan hukuman ringan sekiranya disabitkan kesalahan.

Justeru, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Exco baru-baru ini bersetuju mengemukakan cadangan kepada Peguam Negara supaya kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 121B dan 124B Kanun Keseksaan.

“Mengikut Seksyen 121B Kanun Keseksaan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau didenda dan Seksyen 124B, hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan,’’ ujar beliau.

Perihalan kesalahan Kanun Keseksaan (Akta 574) Seksyen 121B adalah dibaca sebagai Kesalahan terhadap kuasa Yang di- Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri manakala Seksyen 124B, Whoever, by any means, directly or indirectly, commits an activity detrimental to parliamentary democracy shall be punished  with imprisonment for a term which may extend to twenty years.