CERT George Town antara pertubuhan dilengkapi kemudahan kecemasan paling moden dalam negara kini

Admin
KETUA Menteri (tengah) diiringi Phee Boon Poh (kiri) dan Ong Swee Jin (kanan) pada acara gimik perasmian ‘Incident Support Unit’ CERT George Town di sini pada 19 Jun 2022.

GEORGE TOWN – Persatuan Komuniti Pasukan Tindakan Cemas (CERT) George Town kini mempunyai jentera penyelamat baharu dikenali ‘Incident Support Unit’ hasil sumbangan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), Lions Club of Penang Hillview yang bernilai kira-kira RM130,000.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa idea untuk CERT mempunyai sebuah jentera penyelamat yang dilengkapi dengan ‘Kore Kooler Chair’ serta pelbagai kemudahan kecemasan lain timbul selepas misi kemanusiaan bencana banjir di negeri Pahang.

Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi merakamkan penghargaan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk membantu anggota barisan hadapan meningkatkan mutu kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan perkara tidak diingini di Pulau Pinang pada masa hadapan.

“(Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, PKP) Kerajaan Negeri hari ini menyampaikan bantuan dalam bentuk bakul makanan, peralatan dan kelengkapan diperlukan (oleh anggota barisan utama) serta peranti-peranti yang diperlukan oleh murid sekokah bagi menempuhi (kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah, PdPR) supaya tidak ada mana-mana pihak ketinggalan di belakang.

“Pada pagi ini, bagi pihak Kerajaan Negeri dan diri saya sendiri, ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyahut cabaran di negeri Pulau Pinang dan melakukan apa yang mampu bagi memberi bantuan kecemasan sebelum bantuan sebenar tiba (daripada agensi-agensi berkaitan) selama tempoh hampir dua tahun kita menghadapi pandemik COVID-19 sebelum ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam Majlis Perasmian ‘Incident Support Unit’ di sini pada 19 Jun 2022.

KETUA Menteri (duduk, kiri) dan Phee Boon Poh (duduk, kanan) cuba pengalaman duduk atas ‘Kore Kooler Chair’ iaitu kerusi untuk mangsa kebakaran duduk untuk mengurangkan derita terbakar kulit sebelum mendapat rawatan kesihatan sebenar di hospital. 

Sebelum itu, Exco Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh memberitahu bahawa dengan adanya empat unit ‘Kore Kooler Chair’, ia menjadikan CERT sebagai antara pertubuhan yang mempunyai kemudahan menghadapi kecemasan paling moden di negara ini.

Turut berucap, Pengerusi CERT George Town, Ong Swee Jin dan Pengerusi Lions Club of Penang Hillview, Phoong Chew Yee.

ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Presiden CERT George Town, Herry Teh Chee Kong; Penguasa Kanan Bomba 1, Jamil Abdullah @ Othman; Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Pulau Pinang, Dr. R. Premaloshini dan Pengerusi Lee Sih Chong Soo, Lee Kok Eng antara yang hadir dalam majlis tersebut.

Oleh : ZAINILFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING