CERT George Town lancar kempen Ops Selamat Hari Raya

Admin
DR. Afif Bahardin mencuba motosikal pasukan CERT George Town sambil diperhatikan oleh A. Kumaresan (kemeja putih) semalam.

BATU UBAN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyambut baik Ops Selamat Hari Raya yang dilancarkan oleh pasukan Community Emergency Response Team (CERT) George Town sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

 Menurut Afif pendekatan tersebut diambil sejurus pasukan CERT George Town turun membantu 20 kes kemalangan dalam tempoh masa 10 hari pada Ops Tahun Baru Cina lalu.

 “Untuk Ops Selamat Hari Raya 2019 kali ini, saya difahamkan akan bermula pada 1 hingga 9 Jun 2019 dari jam 6 petang hingga 6 pagi.

 “Pasukan ini pada hari biasa pun sememangnya  memberi khidmat kepada masyarakat.

“Dengan kekuatan enam buah motosikal, ia dilengkapi pelbagai peralatan pertologan cemas seperti Automated External Defibrillator (AED), tangki oksigen serta peralatan perubatan lain dalam menangani kes-kes trauma,” ujar beliau ketika berucap pada sidang media Ops Selamat Hari Raya 2019 dekat Taman Pekaka, Sungai Dua semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan dan Pengerusi CERT George Town, Lee Chiew Wan.

 Menceritakan tentang ketangkasan CERT, Kumaresan memuji kepantasan pasukan berkenaan dalam membantu mangsa-mangsa trauma.

“Saya sendiri pernah menghubungi CERT ketika membantu mangsa kemalangan sekitar Taman Pekaka, sememangnya mereka datang dan menghulurkan bantuan dalam tempoh masa singkat.

“Bagi orang awam yang ingin dapatkan khidmat pasukan CERT sebelum bantuan ambulance dari hospital tiba, bolehlah hubungi talian 010-2484999,” ujarnya.

 Text & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI