CERT Georgetown mohon tajaan kelengkapan perubatan

Admin

GEORGE TOWN – Rayuan bantuan kelengkapan perubatan dan cadangan untuk berkolaborasi dengan agensi Kerajan Negeri Pulau Pinang antara perkara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi Persatuan Komuniti Pasukan Tindakan Cemas Georgetown atau lebih dikenali sebagai CERT Georgetown sebentar tadi.

 

Delegasi CERT Georgetown yang diketuai oleh Pengerusi, Ong Swee Jin hadir bersama-sama enam ahli jawatankuasa lain bertemu secara tertutup dengan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng.

 

ONG Swee Jin.

Hadir sama, Pengarah Perubatan CERT Georgetown, Dr. Suaran Singh; Setiausaha Kehormat pertubuhan, Lee Tian Lin; Penasihat Kehormat, Datuk Prof. Dr. Lee Toong Chow; Presiden, Herry Teh Chee Kong dan dua ahli jawatankuasa lain, Lim Teik Khoon serta Koe Suan Eam.

 

Bercakap pada pertemuan tersebut, Swee Jin berkata bahawa pihaknya memerlukan bantuan kelengkapan perubatan untuk kenderaan unit sokongan kecemasan (ISU) yang mereka miliki kini.

 

Pihak kami amat berharap ada pihak penaja yang sudi tampil menaja pembelian LUCAS iaitu peranti pemampatan dada mekanikal yang mudah digunakan dalam membantu pesakit serangan jantung mengejut sebelum di bawa ke hospital.

 

“Ini juga termasuk lain-lain peralatan perubatan yang dianggarkan berjumlah RM100,000,” katanya.

 

TEH Lai Heng mempengerusikan pertemuan bersama-sama delegasi CERT Georgetown di Komtar.

Berhubung cadangan berkolaborasi dengan agensi Kerajaan Negeri, Swee Jin memaklumkan untuk mengadakan kutipan dana bagi pembelian ambulan komuniti untuk kawasan Tanjong bagi memberikan perkhidmatan pantas kepada komuniti setempat.

 

 

Difahamkan, perkhidmatan serupa telah wujud di kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas dan telah memberikan bantuan tindakan kecemasan pantas kepada lebih 600 kes. Turut dibangkitkan adalah cadangan untuk mewujudkan lebih banyak kiosk kotak pertolongan cemas seperti yang terdapat di Taman Kejiranan Karpal Singh, Seri Delima; menjalinkan kerjasama strategik unit tindakan kecemasan berbasikal dengan agensi berkaitan di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan mencari penaja bagi menubuhkan pangkalan untuk CERT Gerogetown di tapak cadangan dekat Gat Lebuh Cecil.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING