GEORGE TOWN – Festival Citra Mutiara 2026 terus menjadi platform penting dalam memperkukuh identiti budaya dan warisan Pulau Pinang, selain membuka ruang kepada penggiat seni, komuniti serta generasi muda untuk terus menghidupkan warisan negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kekuatan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan bukan sahaja bergantung kepada lokasi dan tarikan pelancongan, malah turut berpaksikan warisan yang masih hidup dalam masyarakat.

“Pada tahun ini, usaha memperkukuh warisan negeri terus dipertingkat, termasuk pengiktirafan terhadap Perayaan Teong Guan Phor Thor sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara Pulau Pinang, serta beberapa tapak bersejarah termasuk Makam Dato Koyah sebagai Tapak Warisan.
“Di peringkat antarabangsa pula, Esplanade Seawall and Promenade, George Town menerima pengiktirafan UNESCO Asia-Pacific Award for New Design in Heritage Contexts 2025.
“Pulau Pinang bukan sekadar sebuah destinasi pelancongan, kekuatan kita juga terletak pada warisan yang masih hidup, iaitu sejarah, seni, budaya, makanan, adat resam dan kehidupan masyarakat yang membentuk identiti negeri ini.
“Atas kekuatan inilah Kerajaan Negeri terus meletakkan pelancongan, seni, budaya dan warisan sebagai sebahagian daripada intipati gagasan Visi Penang2030,” ucapnya pada Majlis Perasmian Festival Citra Mutiara 2026 di sini sebentar tadi.

Lafaz perasmian Citra Mutiara 2026 disempurnakan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ramli Ngah Talib yang ditemani Isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Exco Pelancongan Dan Industri Kreatif, Wong Hon Wai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff dan dif-dif jemputan lain.
Tambah Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota, pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008 telah meletakkan Pulau Pinang di pentas dunia, sekali gus membawa tanggungjawab untuk memastikan khazanah warisan negeri terus dipelihara.
“Warisan tidak seharusnya hanya menjadi catatan sejarah, sebaliknya ia perlu terus hidup dalam masyarakat.
“Melalui seni persembahan, muzik, tarian, kraftangan, makanan warisan dan pelbagai ekspresi budaya, Citra Mutiara memberi ruang kepada penggiat seni, komuniti dan generasi muda untuk menjadi peserta, pewaris serta penggerak warisan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Pulau Pinang mempunyai kelebihan tersendiri bagi menyumbang kepada sasaran negara untuk mencapai 47 juta pelawat antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kekuatan tersebut merangkumi warisan gastronomi dan seni budaya, ekopelancongan, agropelancongan serta pengalaman komuniti yang terdapat di seluruh negeri.
“Di bahagian pulau, dusun dan hasil pertanian tempatan, khususnya durian, telah menjadi sebahagian daripada pengalaman agropelancongan dan gastronomi.
“Di Seberang Perai pula, kita mempunyai kekuatan tersendiri melalui warisan komuniti, sejarah, ekopelancongan, alam semula jadi dan gastronomi,” ulasnya lanjut.
Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri mahu memastikan manfaat sektor pelancongan dapat dirasai secara menyeluruh oleh masyarakat di seluruh Pulau Pinang dan tidak tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.
“Penganjuran Festival Citra Mutiara juga selari dengan aspirasi Visi Penang 2030 untuk menjadikan seni dan budaya sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi kreatif yang mampu membuka peluang kepada penggiat seni, usahawan dan komuniti tempatan.
“Pelancong mungkin datang kerana ingin melihat Pulau Pinang, tetapi budaya, warisan, makanan dan pengalaman yang mereka rasai akan membuatkan mereka mengingatinya.
“Warisan dipelihara, budaya dihidupkan, komuniti diperkasa, Pulau Pinang terus dikenali dunia,” ujarnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video: SITI NURATIKAH RAHMAT