CMI mula operasi sebagai entiti perbadanan sepenuhnya bermula 1 Julai

Admin
whatsapp image 2026 05 14 at 4.22.05 pm

GEORGE TOWN – Perbadanan Ketua Menteri (CMI) bakal memulakan operasi secara berasingan sebagai sebuah entiti perbadanan sepenuhnya bermula 1 Julai 2026, selepas melalui fasa penstrukturan semula yang mencabar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa sepanjang tempoh peralihan antara tahun 2022 hingga 2024, operasi CMI hanya disokong oleh 12 kakitangan sahaja.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menjelaskan bahawa kekangan pengambilan tenaga kerja dan pengasingan operasi sebelum ini berikutan impak pandemik COVID-19 serta implikasi kos tambahan bagi proses penstrukturan organisasi.

“Bagi memastikan kesiapsiagaan CMI sebagai badan berkanun, Mesyuarat Lembaga Pengarah telah meluluskan pengisian 35 jawatan kritikal secara berperingkat sehingga tahun 2026.

“Jawatan utama seperti akauntan, pegawai sumber manusia dan pegawai undang-undang telah diisi, manakala juruaudit dijadualkan melapor diri pada 3 Jun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 14 Mei 2026.

Di samping itu, Kon Yeow turut menjawab isu audit dan laporan kewangan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua dan ADUN Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah sebelum ini.

Menurut Kon Yeow, di bawah Enakmen asal 2009, CMI berfungsi sebagai unit di bawah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN).

Oleh itu, tambah beliau, CMI sebelum ini tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk membuka akaun berasingan atau menyediakan penyata kewangan sendiri kerana segala urusan tertakluk di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUKPP).

Pun begitu, jelasnya lagi, pindaan Enakmen pada tahun 2021 kini mewajibkan akaun CMI diaudit setiap tahun oleh Ketua Audit Negara dan dibentangkan di dalam DUN.

“Laporan kewangan pertama bagi tempoh enam bulan (berakhir Disember 2026) akan disediakan untuk pengauditan dan dijangka dibentangkan di dalam Dewan ini pada tahun 2027,” ujar beliau yang juga ADUN merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam pada itu, Kon Yeow mendedahkan bahawa CMI telah memberikan sumbangan kewangan yang signifikan kepada kantung negeri.

“Bagi tempoh tahun 2013 sehingga 30 April 2026, CMI telah menyalurkan hasil berjumlah RM266.8 juta kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa bagi memastikan kestabilan kewangan di peringkat awal operasi sebagai entiti berasingan, Kerajaan Negeri akan menyediakan geran sokongan kepada perbadanan tersebut.

Bagi tempoh peralihan sehingga Disember 2026, Kon Yeow turut memaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang bahawa semua hasil CMI masih disalurkan ke Akaun Bendahari Negeri sebelum dikreditkan terus ke akaun sendiri bermula Januari 2027.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN