CMS serah memorandum transformasi sosioekonomi etnik Muslim Kadayanallur, Tenkasi

Admin
whatsapp image 2023 12 27 at 11.40.44

GEORGE TOWN – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Central Muslim Society (CMS) Pulau Pinang hari ini menyerahkan memorandum khas kepada Kerajaan Negeri menerusi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Presiden CMS, Mohamed Hassan Othuman pada sesi kunjungan hormat yang turut dihadiri oleh presiden-presiden gabungan, pimpinan wanita dan belia CMS.

Menurut Mohamed Hassan, usul-usul yang terkandung dalam memorandum tersebut adalah membabitkan pelan transformasi sosioekonomi etnik Muslim Kadayanallur dan Tenkasi yang merupakan antara etnik terawal menetap di negeri ini.

“Antaranya adalah mendapatkan sebuah premis sebagai pejabat serta pusat aktiviti sementara gabungan pertubuhan di bawah CMS sekitar George dan pada masa sama menzahirkan hasrat supaya mengiktiraf etnik Kadayanallur serta Tenkasi sebagai penduduk asal di negeri ini memandangkan warisan dan susur galur kewujudannya adalah sejak kurun ke-18 yang menjadi sebahagian catatan sejarah sehingga ke hari ini,’’ katanya yang juga Presiden Persatuan Hidayatul Islam di sini sebentar tadi.

Tambah Mohamed Hassan, CMS sentiasa berdedikasi memartabatkan etnik Muslim Kadayanallur dan Tenkasi yang merupakan sebahagian daripada enklaf India Muslim di Pulau Pinang.

Sementara itu, Kon Yeow dalam respons selepas menerima memorandum tersebut berkata bahawa pihaknya akan meneliti kesemua usul yang dikemukakan dan merujuk dengan pihak-pihak relevan berkaitan.

Ditubuhkan pada tahun 1953, CMS merupakan gabungan lima pertubuhan bukan kerajaan iaitu Persatuan Hidayatul Islam; Persatuan Muslim Bersatu; Anjuman Himayathul Islam; Persatuan Muslim Kadayanallur dan Persatuan Nurul Islam.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD