Contohi amalan sisa sifar Pangsapuri Taman Pandan, seru ADUN

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SUNGAI PUYU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh berharap lebih banyak taman perumahan atau komuniti di negeri ini menjadikan Pangsapuri Taman Pandan sebagai contoh berhubung inisiatif pelaksanaan amalan sisa sifar.

Beliau yang juga Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar berkata, amalan sisa sifar yang dijalankan komuniti Pangsapuri Taman Pandan di sini merupakan salah satu langkah memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Amalan ini merupakan satu elemen yang penting untuk memelihara alam sekitar kerana dapat meminimakan penghasilan sampah yang perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah sekaligus dapat membantu mengurangkan kesan perubahan cuaca.

“Oleh itu, saya menyeru agar lebih banyak taman-taman perumahan di negeri ini dapat mengikuti jejak komuniti di sini dalam mengurangkan penjanaan sisa pepejal dan sampah-sarap dengan melibatkan komuniti setempat,” ucapnya pada Majlis Perasmian Projek Pengkomposan Pangsapuri Taman Pandan di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Gary Teoh Kiang-Hong (Pengarah Urusan AUTO-City Group) serta Teoh Soo Thiam (Timbalan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Taman Pandan) hadir sama pada majlis itu.

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, keterbukaan pihak pengurusan Pangsapuri Taman Pandan menjalankan program pengkomposan bersama-sama MPSP merupakan langkah permulaan penting untuk membentuk sebuah komuniti lestari.

“Bukan sahaja ia dapat memanjangkan jangka hayat Pulau Burung (tapak pelupusan sampah di Pulau Pinang) kerana lebih daripada 50 peratus sampah yang dibuang oleh penduduk Seberang Perai merupakan sisa domestik, yang mana dapat dikurangkan melalui kitar semula dan pengkomposan, tetapi juga dapat memelihara alam sekitar.

“Justeru, melalui program-program anjuran MPSP, kami (MPSP) berusaha meningkatkan kesedaran rakyat negeri ini untuk menangani sisa buangan dengan lebih berkesan melalui pengasingan sisa di punca,” jelasnya.

Terdahulu, Maimunah memberitahu, pihak pengurusan Pangsapuri Taman Pandan telah berjaya meraih Anugerah Komuniti Mampan anjuran MPSP pada tahun 2014 dan 2015.

“Bukan itu sahaja, kini, pihak pengurusan yang sama turut menjadi mentor kepada sekolah dan komuniti setempat serta menerima kunjungan dari United Nations Environment Programme (UNEP), Climate & Clean Air Coalition (CCAC) dan Bank Dunia,” jelasnya.

Sejak Januari 2002 sehingga kini, sebanyak 237.829 tan barangan kitar semula telah dikumpulkan pihak pengurusan Pangsapuri Taman Pandan dengan nilai RM52,683.00.

if (document.currentScript) {